Tokoh Ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan kuliah duha pada Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam pada 5 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kupasan dua kitab bersama ulama Pattani di masjid negeri Rabu ini

SHAH ALAM, 22 APRIL: Dua kitab akan dikupas secara terperinci dalam program Talaqqi Kitab Turath Islami yang berlangsung pada 24 dan 26 April.

Tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni dijadual mengupas kitab Ihya Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan sepanjang program berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Acara dua hari yang dijayakan bersama Media Selangor Sdn Bhd, Akademi Pemikiran Turath, pejabat Dato’ Menteri Besar dan masjid negeri merupakan lanjutan program Festival Turath Islami Selangor tahun lalu susulan mendapat sambutan menggalakkan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut serta berzikir bersama bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah ketika Majlis Zikir Darul Ehsan sempena Festival Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi berkata program pada 24 April meliputi dua sesi iaitu kuliah Dhuha (9.30 pagi hingga 12 tengah hari) dan kuliah isyak (9 hingga 11 malam).

Beliau menjelaskan kuliah Dhuha juga akan diadakan pada 26 April bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dengan jangkaan antara 200 hingga 300 jemaah setiap sesi.

“Apa yang menarik, program kali ini kita berjaya menyiapkan dua jilid terjemahan Ihya Ulumuddin yang sudah berada di pasaran sejak November lalu,” katanya seperti dilaporkan.

Festival Turath Islami Selangor diadakan bermula tahun lalu untuk memartabat syiar Islam menerusi penganjuran majlis ilmu mendalam yang menampilkan syarahan tokoh ulama antarabangsa.

Program cetusan idea Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut berjaya menarik lebih 10,000 peserta termasuk pelajar keagamaan dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

Tahun ini, program tersebut akan diadakan selama lapan hari bermula hujung Mei dengan pelbagai pengisian selain pelancaran lima jilid karya terjemahan Ihya Ulumuddin.


Pengarang :