Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad beramah mesra dengan kakitangan Hospital Kuala Kubu Baharu ketika mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Fasiliti Kesihatan di Hospital Kuala Kubu Baharu pada 26 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Naik taraf kemudahan Hospital KKB, doktor pakar ditambah

HULU SELANGOR, 30 APRIL: Pelbagai proses naik taraf akan dibuat di Hospital Kuala Kubu Bharu termasuk meningkatkan perkhidmatan dan menambah bilangan doktor pakar, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu pihaknya maklum keluhan penduduk termasuk ketiadaan pakar di situ hingga pesakit terpaksa dirujuk ke Hospital Selayang khususnya kes kemalangan.

Beliau menjelaskan penambahbaikan yang akan dibuat antaranya menaik taraf keupayaan Unit Kecemasan dengan menempatkan seorang doktor pakar mulai bulan depan, lapor Berita Harian.

“Kita sudah ada seorang pakar perubatan am di sini (sejak Januari lalu). Kita juga akan menaik taraf unit farmasi dan kawasan parkir awam,” katanya dalam sidang media pada 26 April.

Dr Dzulkefly mengadakan lawatan rasmi ke Hospital KKB dan beramah mesra dengan kakitangan dan pesakit di situ.

Beliau menjelaskan usaha sedemikian tidak terbatas di KKB sahaja sebaliknya penambahbaikan juga dijalankan berterusan meliputi hospital di negeri lain yang berdepan masalah sama.

“Tentu ada banyak perkara perlu diberi perhatian, dan kita merancang dengan begitu rapi. Paling penting ialah meningkatkan perkhidmatan di hospital, dan itulah cabarannya,” katanya.


Pengarang :