Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) merasmikan mesin vending menjual nasi lemak yang ditempatkan di Stesen LRT Cempaka yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (dua kiri) sempena majlis pelancaran Inisaitif Pendapatan Rakyat (IPR) di Ampang Jaya pada 26 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tunjuk kesan positif basmi miskin tegar, IPR berjaya tingkat pendapatan peserta

SHAH ALAM, 30 APR: Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan sejak setahun lalu menunjukkan kesan positif dalam membasmi miskin tegar dan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah (B40).

Kementerian Ekonomi berkata pihaknya giat menyebarluas kisah kejayaan peserta IPR dalam meningkatkan hasil jualan bagi memastikan lebih ramai menyertai dan menerima manfaat yang sama.

“Pada awalnya mungkin wujud sedikit konotasi negatif akibat salah tanggapan masyarakat tentang program IPR.

“Namun, bibit kejayaan ini membuktikan kesungguhan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli serta warga Kementerian Ekonomi membasmi miskin tegar dan meningkatkan pendapatan B40,” menurut kementerian itu di Facebook.

Peserta Program Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Mohd Hermi Shahuddin bersama mesin IPR yang diletakan di Kolej Angsana 2 UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam pada 25 April 2024. Foto BERNAMA

Pada 28 April lalu, media melaporkan beberapa kisah kejayaan peserta IPR termasuk seorang peniaga nasi kukus Mohd Hermi Shahuddin, 47, yang meraih jualan melebihi RM14,000 sebulan selepas menyertai program IPR kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN).

Turut menempa kejayaan adalah usahawan makanan dan minuman Haida Abdul Rahman, 48, yang meraih pendapatan bersih mencecah RM5,000 sebulan berbanding RM1,500 sebulan sebelum menyertai program itu.

Peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Haida Abdul Rahman, 48, menunjukkan antara makanan yang dijual kepada penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Segamat, menggunakan Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di UiTM pada 26 April 2024. Foto BERNAMA

Sebelum ini, Rafizi memaklumkan sehingga 27 Februari lalu seramai 99,506 individu daripada kategori berpendapatan rendah layak menyertai program IPR yang dilaksanakan Kementerian Ekonomi.

Daripada jumlah itu seramai 42,770 pemohon mengikuti program di bawah Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), 27,314 menyertai Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dan 29,422 pemohon di bawah Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

IPR bertujuan meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar, miskin dan B40 untuk menjana pendapatan membabitkan kerjasama kerajaan, rakyat dan rakan strategik.

Kakitangan PKPS memetik cili ketika Majlis pelancaran dan lawatan tapak IPR Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) @ PJ City Food Valley di Pangsapuri Pelangi Damansara, Petaling Jaya pada 21 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :