Gambar hiasan menunjukkan seorang lelaki menyiram wajah dengan air berikutan cuaca panas terik. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pokok Sena catat gelombang haba, 18 kawasan tahap berjaga-jaga

SHAH ALAM, 13 APRIL: Pokok Sena, Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba setakat 4.30 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, tahap gelombang haba merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Dalam kenyataan menerusi laman Facebook, suhu panas tahap berjaga-jaga atau tahap satu turut direkod di 18 kawasan Semenanjung iaitu Padang Terap, Sik, Baling, Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah.

Selain itu di Timur Laut, Pulau Pinang; Raub, Pahang, Gua Musang, Kelantan dan Perlis.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan Malaysia berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut yang secara lazim menyaksikan kawasan utara Semenanjung mengalami litupan awan dan taburan hujan yang kurang selain menyebabkan cuaca lebih panas serta kering berbanding kebiasaan.

Selain itu, berikutan fenomena El Nino kuat yang sedang melanda dunia pada ketika ini, MetMalaysia turut menjangkakan suhu maksimum harian di negara ini boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat.

Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, orang ramai boleh rujuk https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/


Pengarang :