Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar menyantuni murid-murid semasa hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Murid B40 SJKC Kampung Baru Semenyih Bagi Tahun 2024 di SJKC Kampung Baru Semenyih pada 10 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

314 pelajar SJKC Kampung Baru Semenyih terima sumbangan persekolahan

HULU LANGAT, 10 MEI: Sebanyak 314 murid dalam kalangan keluarga B40 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Baru Semenyih di sini hari ini menerima sumbangan persekolahan bagi meringankan beban kewangan ibu bapa menyediakan keperluan sekolah anak-anak mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sumbangan itu melibatkan peruntukan berjumlah RM31,400.

Kesemua murid itu menerima wang tunai RM100 dan beg sekolah yang merupakan peruntukan khas daripada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Sering kali saya sebut bahawa pendidikan ini sangat penting dan apabila saya memberikan sumbangan menerusi Majlis Agama Islam Wilayah (MAIWP) saya mengingatkan bahawa pendidikan mampu mengubah nasib keluarga B40 ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan berkenaan.

Mohd Na’im berkata program yang dilaksanakan itu juga bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Program ini juga suatu usaha untuk menonjolkan nilai-nilai rahmah dan kasih sayang bagi memperkukuh keharmonian dalam kemajmukan masyarakat di negara ini.

“Semoga agensi kerajaan termasuk Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terus berperanan untuk menyokong pendidikan generasi anak-anak agar dapat mengecapi kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :