Jemaah Haji dari seluruh dunia mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram di Mekah pada 17 Ogos 2018. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Pastikan keselesaan jemaah, Masjidil Haram guna teknologi canggih kawal suhu

MAKKAH, 10 MEI: Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah menggunakan teknologi canggih bagi mengawal suhu di Masjidil Haram sepanjang tahun.

Ini memastikan persekitaran selesa dan sihat untuk para jemaah dalam kedua-dua musim, sama ada musim panas yang terik atau musim sejuk yang dingin, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Suhu dalaman disesuaikan berdasarkan keadaan di luar dengan sasaran antara 20 hingga 24 darjah Celsius.

Semua unit pengendalian udara (AHU) beroperasi pada kapasiti penuh bagi mengekalkan suhu ini semasa musim panas manakala pada musim sejuk, hanya sebahagian AHU digunakan kerana cuaca semula jadi yang lebih sejuk.

Udara segar diambil dari bumbung Masjidil Haram dan melalui beberapa peringkat penapisan.

Penapis berprestasi tinggi menyingkirkan debu dan bahan cemar mikroskopik manakala proses pensterilan ultraungu membunuh bakteria dan kuman untuk memastikan udara bersih di ruang solat.

Bagi tujuan penyelenggaraan, Pentadbiran Am untuk Operasi dan Penyelenggaraan memainkan peranan penting dengan pasukan jurutera dan juruteknik Arab Saudi memantau pengawalan suhu, mengekalkan tahap kelembapan dan memastikan semua sistem berfungsi dengan baik.

Mereka menyesuaikan aliran udara berdasarkan bilangan pengunjung untuk memastikan keselesaan terma dan kecekapan tenaga.

Penyelenggaraan mengikut garis panduan teknikal dan protokol keselamatan yang ketat bagi memastikan kesejahteraan pengunjung.

Sistem kawalan iklim di Masjidil Haram menunjukkan komitmen Arab Saudi untuk menyediakan persekitaran terbaik bagi jutaan jemaah.

– BERNAMA-SPA

 


Pengarang :