Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan rakan sejawat dari Singapura Lee Hsien Loong pada 10 Mei 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar: Hubungan Malaysia, Singapura kekal kukuh di bawah pentadbiran baharu

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bersedia untuk terus memperkukuh hubungan dengan Singapura di bawah pentadbiran bakal Perdana Menteri republik itu yang baharu, Lawrence Wong.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata kesediaan Malaysia itu adalah sebagai menyambut baik harapan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang mahu melihat hubungan akrab kedua-dua negara terus mekar di bawah pentadbiran Wong.

Anwar berkata harapan Singapura itu dizahirkan Lee semasa beliau menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya itu selepas merasmikan Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024.

“PM Lee memaklumkan secara rasmi akan menyerahkan tampuk pentadbiran kepada Lawrence Wong minggu depan dan menzahirkan harapan melihat hubungan akrab Malaysia-Singapura terus mekar di bawah kepemimpinan baharu negara itu.

“Saya sambut baik harapan PM Lee dan sedia untuk terus memperkukuh hubungan Malaysia dan Singapura di bawah pentadbiran Lawrence,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau juga sempat mengundang Lee dan isterinya, Ho Ching ke Malaysia dalam masa terdekat.

Anwar berkata beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail amat menghargai hubungan peribadi yang erat bersama Lee serta Ho Ching.

“Bicara kami dalam setiap pertemuan sentiasa berpaksikan sahabat kepada sahabat.

“Selamat maju jaya sahabat. Semoga masa depan yang cemerlang terus menanti Malaysia dan Singapura, insya-Allah,” katanya.

Wong, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa Singapura, akan mengambil alih tugas Perdana Menteri daripada Lee pada 15 Mei ini.

— BERNAMA


Pengarang :