Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor kerana dipercayai melanggar syarat sah lesen dengan menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran di sekitar perairan Kapar, Klang pada 8 Mei 2024. Foto Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
AGENDAJENAYAH

APMM tahan bot nelayan tempatan bersama lima pekerja asing

SHAH ALAM, 9 MEI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan bot nelayan tempatan kelas C kerana disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran di sekitar perairan Kapar, dekat sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata bot berkenaan ditahan di kedudukan 23.8 batu nautika barat daya Kapar pada 3.45 petang oleh bot peronda APMM yang sedang melaksanakan Op Ehsan.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati bot didaftarkan di Perak itu dikendalikan tekong dan empat kru warga Myanmar berusia antara 25 hingga 55 tahun dan ketika ditahan mereka sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

“Mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Kesemua individu berkenaan berserta bot dan hasil tangkapan ikan yang dianggarkan seberat 200 kilogram dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menunda atau melakukan aktiviti penangkapan ikan di luar perairan Perak tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.

– BERNAMA


Pengarang :