Pemain Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim (tengah) diasak pemain Negeri Sembilan FC Levy Clement Mandinda (kanan) pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 4 April 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Faisal Halim alami kelecuran tahap empat, akan jalani dua pembedahan lagi

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Pemain sayap sensasi skuad Harimau Malaya Mohamad Faisal Abdul Halim atau dikenali Faisal Halim disahkan mengalami kelecuran tahap empat selepas menjalani pembedahan pertama kelmarin.

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar yang turut memaklumkan pergerakan dan percakapan Faisal Halim ketika ini sedikit terjejas berikutan insiden disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Ahad lalu.

Beliau berkata tonggak jentera serangan Gergasi Merah itu bakal menjalani sekurang-kurangnya dua pembedahan lagi selepas ini.

“Selepas pembedahan pertama, doktor pakar mengesan ia bukan melecur tahap dua tetapi tahap empat. Berdasarkan penilaian, Faisal akan melalui sekurang-kurangnya lagi dua pembedahan yang akan ditentukan doktor. Sekarang beliau masih di ICU (Unit Rawatan Rapi), sedang dipantau dengan rapi oleh pakar.

“Apa yang saya boleh kata (keadaan Faisal), pergerakan dan percakapan beliau terbatas kerana kesannya ada di bahagian muka (iaitu) pipi, hidung dan mulut ada sikit. Di bahagian badan dan tangan belah kiri agak teruk, itu yang jejaskan pergerakan beliau,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Pada masa sama, Shahril berkata Faisal Halim yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ dalam kalangan peminat akan berada di bawah pemantauan rapi di hospital sekurang-kurangnya selama 10 hari.

“Kemudian mungkin menjalani rawatan susulan di hospital selama dua hingga tiga minggu. Untuk proses pemulihan itu bergantung tetapi saya rasa beliau tidak dapat beraksi minimum lima atau enam bulan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kelmarin arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden pemain kebangsaan cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah dan dilaporkan mengalami kelecuran tahap dua.

Ia merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid apabila pemain pinjaman Terengganu FC itu cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

Muhammad Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain berkenaan mengalami kecederaan.

– BERNAMA


Pengarang :