Mais menggalakkan lebih ramai menggunakan kemudahan e-wasiat bagi memudahkan proses agihan harta pusaka jika seseorang individu meninggal dunia. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mais lantik 70 individu bantu masyarakat urus wasiat, hibah

SHAH ALAM, 10 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais)  melantik 70 individu sebagai Perancang Pewarisan Islam (PPI) bagi meluaskan lagi peranan agensi itu berkaitan pengurusan harta.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata lantikan itu juga memberi peluang meningkatkan pengetahuan individu berhubung pengurusan harta selain menambah pendapatan melaluinya.

“Sehingga April, Mais telah bekerjasama dengan 70 orang PPI yang berdaftar dan aktif dalam mempromosikan, membantu proses pendaftaran perkhidmatan wasiat dan hibah.

“Orang ramai yang berminat untuk mendaftar sebagai PPI boleh memohon melalui lama sesawang https://siswa.mais.gov.my/register/agent,” katanya menerusi kenyataan.

Mais memaklumkan, pihaknya menyampaikan sijil dan hadiah iringan kepada lima orang PPI yang dipilih berdasarkan pendaftaran pelanggan tertinggi dalam perkhidmatan wasiat dan hibah.

Hadiah dan sijil disampaikan oleh Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada Majlis Jalinan Ukhwah Aidilfitri Bersama Rakan Strategik di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh hubungi nombor talian 03-5514 3772 atau WhatsApp 010251 9556.


Pengarang :