Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama wakil guru selepas majlis penyerahan bantuan sekolah agama rakyat berjumlah RM9.3 juta di Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Al-Maarof, Johan Setia, Klang pada 11 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Guru Kafa nikmati keselesaan dengan pelbagai insentif negeri

SHAH ALAM, 10 MEI: Usaha Kerajaan Negeri menyedia caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memanfaatkan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Kafa Integrasi (Kafa-i) dan sekolah agama negeri ini.

Insentif itu termasuk kenaikan elaun dan pemberian bantuan khas kewangan Aidilfitri juga terbukti memberi keselesaan kepada golongan pendidik itu selaras dengan keperluan semasa.

Guru Kafa Integrasi Bukit Sentosa 3, Mior Ahmad Fikri Mior Ifindi

Guru Kafa Integrasi Bukit Sentosa 3, Mior Ahmad Fikri Mior Ifindi, 26, berkata caruman itu memberi jaminan di hari tua selain membantunya membeli rumah.

“Kita sedia maklum gaji guru Kafa ini kecil sahaja tetapi dengan KWSP ini, Insya-Allah boleh tambah-tambah untuk beli rumah.

“Perkeso pula, dapat bantu kita dalam segi keselamatan, mana tahu tiba-tiba terlibat kejadian tak diingini, dapat tolong sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Mior menambah pentadbiran negeri juga menghargai guru Kafa apabila elaun mereka dinaikkan setimpal dengan usaha mendidik ilmu agama.

“Walaupun hakikatnya masih tidak cukup kerana kos sara semakin tinggi tetapi kami bersyukur kerana ada kenaikan ini.

“Selain itu, bantuan khas aidilfitri juga sangat membantu untuk belanja raya. Maklumlah, bila raya perbelanjaan pun jadi lebih,” katanya lagi.

Guru Kafa Integrasi Kampung Kuantan, Lizawati Md Radzi

Guru Kafa Integrasi Kampung Kuantan, Lizawati Md Radzi, 38, pula berkata beliau sempat merasai wang KWSP semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain boleh digunakan apabila akaun ketiga diperkenalkan.

“Inisiatif Perkeso untuk guru pula, ini satu penambahbaikan yang bagus. Sekiranya jadi apa-apa ada sumber untuk diri sendiri dan keluarga.

“Saya sempat merasa masa elaun RM800 dahulu. Kenaikan ini sesuatu yang bagus. Saya bersyukur dengan kenaikan ini, cuma kalau ada kenaikan lagi, itu lebih baik kerana sesuai dengan kos sara makin tinggi,” katanya yang tinggal di Kampung Hulu Rening, Batang Kali.

Guru Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Bharu, Azrazaira Asbollah

Manakala guru Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Bharu, Azrazaira Asbollah, 47, berkata beliau bersyukur diberi caruman KWSP meski pun hanya berstatus kontrak memandangkan ia boleh dijadikan simpanan hari tua.

“Saya bermula pemotongan KWSP masa awal-awal dahulu, sedikit sangat sahaja tetapi sekarang sudah menjangkau seratus lebih.

“Perkeso juga baru sahaja diadakan. Walaupun sedikit tetapi saya bersyukur sangat kerana ia menjamin sekiranya terjadi apa-apa. Benda ini penting. Kita tak tahu apa terjadi dalam perjalanan atau semasa bekerja,” katanya.

Azrazaira yang mula berkhidmat sebagai guru Kafa pada 1995 dengan elaun RM374 turut bersyukur menerima bantuan khas Aidilfitri.

“Bantuan itu sangat membantu. Kebetulan anak saya nak masuk universiti, duit itu dapatlah menampung untuk persiapan dia. Untuk kita dapat rasa, anak kita pun dapat rasa.” katanya.

Guru Sekolah Kafa Integrasi Bukit Sentosa 3, Ahmed Rusyaidi Albni

Sementara itu, guru Sekolah Kafa Integrasi Bukit Sentosa 3, Ahmed Rusyaidi Albni Ali, 30, mengakui usaha Kerajaan Negeri sangat memanfaatkan golongan pendidik.

“Adanya caruman ini, dapat membantu untuk masa depan kami. Saya telah berkhidmat sebagai guru Kafa lebih 10 tahun. Jadi, ada juga simpanan KWSP saya dan guru baharu, mereka juga dapat manfaat sama.

“Perkeso sangat membantu apabila berlaku situasi yang tidak kita ingini semasa bekerja. Contohnya kami selain di sekolah, kami juga ada aktiviti luar seperti kursus. Ia dapat membantu sekiranya berlaku kecemasan. Setidak-tidaknya ada jaminan,” katanya.

Bagi bantuan khas pula, Ahmed Rusyaidi berkata insentif itu wajar meski pun tidak banyak kerana ia meringankan beban menyambut perayaan.

“Bonus seperti ini wajar ada walaupun tak semestinya banyak. Bonus ini sebagai suatu ganjaran lebih-lebih lagi musim raya perlu belanja lebih tinggi,” katanya.

Mulai 2023, Kerajaan Selangor menyelaraskan elaun supaya kelompok itu menikmati gaji minimum RM1,500 yang memanfaatkan 2,825 guru yang masih dibayar elaun serendah RM1,350 sebulan.

Tiga tahun sebelum itu, Kerajaan Negeri memperkenal caruman Perkeso yang disambut baik Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Kerajaan Negeri turut menyediakan caruman KWSP dan bantuan khas kewangan sempena Aidilfitri turut diberi kepada guru Kafa dan sekolah agama.


Pengarang :