Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao pada majlis pengumuman calon di Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu pada 24 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kempen rumah ke rumah galak pengundi keluar mengundi, pilih calon terbaik

SHAH ALAM, 9 MEI: Berbaki sehari lagi tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, jentera Kerajaan Perpaduan giat melaksanakan kempen rumah ke rumah bertemu pengundi.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bagi menggalakkan mereka yang layak keluar mengundi Sabtu ini.

“Kempen rumah ke rumah akan kita teruskan sehingga tamat masa berkempen esok bagi memastikan pengundi keluar mengundi dan pilih calon terbaik terutamanya daripada Kerajaan Perpaduan.

“Bantuan untuk orang turun dan pergi mengundi (seperti aspek logistik) perlu diberi penekanan yang lebih oleh semua pihak kerana pengundi keluar mengundi itu penting.

“Selain kempen media sosial atau ceramah, cara konvensional ini iaitu kempen rumah ke rumah kami lakukan untuk menarik pengundi keluar mengundi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Pengubahan) di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media pelancaran Draf RS Negeri Selangor 2035 di Pusat Konvensyen MBSA pada 9 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Berhubung potensi kemenangan calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK itu Amirudin berkata semua pihak mengharapkan kemenangan dan beliau yakin dan berpuas hati dengan gerak kerja jentera Perpaduan ketika ini.

“Semua orang mengharapkan kemenangan. Jika awak tanya Azmin Ali (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) mesti dia kata ‘kita menang’ macam dia kata masa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan ada kerajaan baru. Jadi tidak mengapa masing-masing ada harapan.

“Tapi saya yakin dengan gerak kerja dan puas hati dengan apa yang kita lakukan. Tapi ada ruang yang boleh kita perbaiki di pihak PH (Pakatan Harapan),” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Kerajaan Perpaduan, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas.

Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan dicabar calon PN Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainudin dari PRM serta calon bebas, Nyau Ke Xin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini, hari pengundian awal 7 Mei dengan tempoh berkempen 14 hari. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.


Pengarang :