Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri (empat, kiri) menziarahi keluarga Nor Pahidah Mat Zaman (tiga, kanan) isteri mangsa yang maut dihembap pokok tumbang di Seksyen 24 Shah Alam, pada 9 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Bantuan keluarga mangsa maut dihempap pokok tumbang diteliti

SHAH ALAM, 9 MEI: Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada keluarga Md Rizal Atan, yang maut dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Selasa lalu.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata bantuan itu akan meringankan beban keluarga terbabit, memandangkan isteri mangsa Nor Pahidah Mat Zaman tidak bekerja.

“Tiga anak allahyarham masih lagi belajar manakala seorang lagi belum bersekolah. Kita simpati dengan nasib yang menimpa keluarga ini dan akan cuba memberikan bantuan sepatutnya.

“Kejadian ini baharu sahaja berlaku. Jadi kita sedang meneliti bantuan apa yang boleh diberikan dan kita akan mendapatkan maklumat mengenai keluarga ini daripada adik allahyarham, yang kebetulan bekerja dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa menziarahi keluarga Md Rizal di rumah keluarganya di Seksyen 24, di sini hari ini.

Nancy turut menyerahkan wang tunai RM3,000 serta bekalan makanan, sumbangan Yayasan Kebajikan Negara untuk meringankan beban keluarga terbabit.

Media sebelum ini melaporkan Md Rizal, 47, yang bekerja sebagai pemandu peribadi maut dihempap pokok tumbang di ibu negara, semasa dalam perjalanan ke sebuah hotel untuk menjemput tetamu syarikat majikannya.

– BERNAMA


Pengarang :