Keadaan tandas Sekolah Kebangsaan Air Hitam Labu, Kampar yang siap diselenggara menggunakan peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Foto Facebook Skahlabu Kampar
AGENDANASIONAL

KPM peruntuk lebih RM134 juta selenggara tandas sekolah tahun ini

TAIPING, 10 MEI: Lebih RM134 juta diperuntukkan kepada 1,919 Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) bagi projek menaik taraf serta menyelenggara tandas sekolah yang dijangka bermula dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata setiap daripada sekolah berkenaan akan menerima peruntukan berjumlah RM70,000 sepertimana yang disalurkan kepada sekolah kerajaan pada tahun lepas.

“Buat masa ini, peruntukan ini masih dalam proses untuk kita memenuhi segala tatacara kewangan yang ada.

“Setelah kesemuanya dipenuhi maka kita akan salurkan kepada setiap SBK termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) untuk tujuan penyelenggaraan serta naik taraf tandas sekolah,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan di SABK Maahad Al-Khair Lil Banat di sini hari ini.

Sehingga 20 Mac lepas, sejumlah 8,354 tandas sekolah telah dibaiki dengan peruntukan berjumlah RM654.29 juta di bawah Projek Penyelenggaraan Tandas Sekolah di bawah Kementerian Pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih lima juta pelajar seluruh negara.

Mengenai sesi lawatan yang diadakan, Wong berkata sebanyak RM300,000 diperuntukkan kepada tujuh sekolah dalam Parlimen Taiping bagi tujuan baik pulih atau menaik taraf fasiliti serta infrastuktur sedia ada.

Beliau berkata segala proses berkenaan akan dikendalikan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah masing-masing.

“Sumbangan secara sekali beri ini disalurkan melalui Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan kepada enam sekolah kerajaan dan SABK Maahad Al-Khair Lil Banat, yang kita harapkan ia dapat digunakan sebaiknya oleh ketujuh-tujuh sekolah ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :