Orang ramai mengambil hidangan ketika Majlis mesra aidilfitri bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang 2024 di Dewan MBDK Bandar Bukit Raja Klang pada 6 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Lebih 2,000 pengunjung meriahkan rumah terbuka Aidilfitri MBDK

KLANG, 6 MEI : Lebih 2,000 orang memeriahkan Majlis Mesra Aidilfitri Bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang diadakan di Dewan MBDK Bukit Raja di sini, hari ini.

Datuk Bandarnya Datin Paduka Noraini Roslan berkata mereka yang hadir terdiri dalam kalangan kakitangan MBDK, ahli majlis, orang besar daerah dan penduduk Klang.

“Kebiasaan sebelum ini majlis Aidilfitri kita dianjurkan di Dewan Hamzah, Klang namun pada tahun ini lokasinya berbeza iaitu kita raikan di dewan yang baharu tersergam indah ini.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan besarlah harapan saya agar majlis ini dapat memupuk nilai keprihatinan, hormat, kasih sayang dan berkongsi kemeriahan bersama individu yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Mesra Aidilfitri Bersama MBDK di Dewan MBDK Bukit Raja.

Dalam pada itu, Noraini berkata pihaknya turut menghulurkan sumbangan Aidilfitri kepada 75 asnaf sekitar Klang bertujuan meringankan beban mereka dalam menyambut Syawal.

“Semua penerima hari ini dipilih oleh 24 ahli majlis MBDK mengikut zon masing-masing. Justeru, kita berharap sumbangan ini dapat menceriakan mereka,” katanya.

Program bermula jam 2 hingga 5.30 petang itu turut diisi dengan pelbagai pengisian antaranya persembahan menarik daripada artis jemputan Indah Ruhaila.

Selain itu, penonton turut dihiburkan dengan tarian tradisional oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist, Klang dan persembahan warga kerja MBDK.


Pengarang :