Pasukan keselamatan negara membuat tinjauan di sempadan Malaysia – Thailand di Martak Bukit Kayu Hitam PGA Briged Utara hingga ke Kem PGA Perlis bagi mengekang jenayah serta kemasukan pendatang tanpa asing pada 25 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Letupan bom di selatan Thailand, dua rakyat Malaysia antara empat cedera

NARATHIWAT, 7 MEI: Dua pelancong Malaysia antara empat individu yang cedera dalam satu letupan bom di Narathiwat, selatan Thailand pada Isnin.

Konsulat Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata kedua-dua wanita yang berusia 38 dan 31 tahun berasal dari Tumpat, Kelantan mengalami kecederaan ringan susulan letupan bom pada 9.35 malam pada Isnin (6 Mei).

“Kedua-dua mereka tidak mengalami kecederaan serius dengan simptom kejutan, pening, sesak nafas dan luka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, kedua-dua wanita digegaskan ke Hospital Narathiwat Rachanakharin untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muang Narathiwat Kol. Pol. Prachaya Paiteh berkata dua anggota sukarelawan pertahanan yang sedang bertugas di Pusat Kawalan Keselamatan Sukarelawan Pertahanan turut cedera dalam insiden itu.

“Siasatan awal mendapati bom buatan sendiri dipasang pada sebuah motosikal yang diubah suai dan diletak berdekatan dengan pusat kawalan.

“Kedua-dua wanita Malaysia yang berada berdekatan dengan pusat kawalan turut mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Prachaya berkata polis telah mempergiatkan usaha untuk mengesan suspek dan motif letupan tersebut.

— BERNAMA


Pengarang :