Pemain MBSJ FC Intan Sarah (tengah) melepasi kawalan pemain FC Japan Malaysia ketika membantu pasukannya menang 15-0 dalam perlawanan keempat Liga Super Wanita di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 20 April. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor
AGENDASUKANKINI

Liga Super Wanita: MBSJ kekal rekod tanpa kalah, belasah Sternen FC 11-0

SHAH ALAM, 6 MEI: MBSJ FC terus melebarkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan Liga Super Wanita (WSL) selepas membelasah Sternen FC 11-0 di Arena MBSJ, Subang Jaya pada Sabtu lalu.

Penyerang Intan Sarah turut cemerlang meledak empat gol pada babak pertama diikuti hatrik NurLyana Soberi sementara empat lagi jaringan dihasilkan oleh Lee Xin-Yi, Steffi Sidhu, Waitie Taming dan Aisha Lynn Faris.

Keputusan itu juga memberi kelebihan tujuh mata buat MBSJ FC di puncak kumpulan A selepas pasukan kedua MBPJ FC hanya mampu mengutip satu mata terikat tanpa jaringan bertemu Selangor FC.

Uitm United Lioness kekal di kedudukan keempat selepas melakar kemenangan ketiga musim ini menewaskan SA FC Swat 3-0 hasil jaringan Kaseh Carmila, Nurfazira dan Siti Nurkhaleeda.

Sementara itu, KL Spicegals FC tidak berdepan masalah menewaskan SA United 3-0 menerusi jaringan Puteri Noralisa, Azza Harmiza dan gol sendiri Rogayah Ali untuk kekal mendahului kumpulan B dengan 15 mata.

Mengekori rapat di tempat kedua SSS Leopard FC yang menewaskan Perkemas FC 1-0 hasil jaringan sendiri Khantana pada penghujung babak pertama.

Dalam satu lagi perlawanan, dua jaringan Aina Suraya pada babak kedua membantu PNSB FC mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Penang Real CJ.


Pengarang :