PBTSELANGOR

MBSA anjur program makan percuma, terhad 300 pengunjung terawal

SHAH ALAM, 10 MEI: Orang ramai berpeluang menikmati makanan percuma di Medan Selera, Seksyen 2 di sini menerusi program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 15 Mei ini.

Pengarah Pembangunan Komuniti MBSA Shahrin Ahmad berkata program berkenaan terbuka kepada 300 pengunjung terawal dengan peruntukan RM10 setiap seorang.

“Ini merupakan program julung kali yang kita adakan untuk kita membantu dan menyumbang semula kepada masyarakat.

“Ia juga merupakan rentetan daripada program jom isi minyak percuma kepada 300 orang yang telah mendapat sambutan hangat pada bulan lalu,” katanya kepada Selangorkini.

Shahrin menambah, program makan percuma disasarkan kepada golongan pelajar di institusi pengajian tinggi, pekerja industri dan kakitangan awam di sekitar Shah Alam.

Menurutnya MBSA merancang untuk mengadakan program sama di peringkat zon utara dan selatan bagi memberi peluang lebih ramai penduduk menikmati manfaatnya.

“Kita bekerjasama dengan beberapa pengusaha makanan di Medan Selera Seksyen 2 dan pengunjung terawal hanya perlu berdaftar dan seterusnya memilih makanan pada harga RM10,” katanya.


Pengarang :