Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada 10 Mei 2024. Kesemua 18 pusat mengundi yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran, akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup 2 petang. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SPR: Pengundi dinasihat keluar ikut cadangan waktu, elak sesak

HULU SELANGOR, 10 MEI: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) disaran keluar mengundi esok mengikut waktu ditetapkan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata langkah itu dapat mengurangkan kesesakan di pusat terbabit sekali gus melancarkan proses mengundi.

“Pengundi dinasihat keluar mengikut masa yang dicadangkan. Jika semua pergi waktu sama, pusat akan sesak.

“Seboleh-bolehnya ikut waktu dicadangkan namun jika tidak boleh, tidak mengapa. Boleh datang mengikut kelapangan masa.

“Pilihan raya kecil (PRK) ini melibatkan 18 pusat undi daripada 8 pagi hingga 6 petang. Hanya satu pusat undi di Bukit Fraser ditutup jam 2 petang kerana pengundi sikit,” kata Datuk Ikmalrudin Ishak.

Terdahulu beliau meninjau persiapan dilakukan pegawai bertugas di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna KKB di sini hari ini.

Sementara itu, ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KKB berkata seramai 50 anggota sedia digerakkan esok sekiranya berlaku kejadian kecemasan di pusat mengundi atau pusat penjumlahan undi.

“Anggota dari BBP KKB dan Bukit Sentosa. Hari ini bomba turut memeriksa peralatan kecemasan serta laluan keluar masuk sebagai persediaan jika berlaku kecemasan,” kata Alfian Mashuti.

PRK KKB diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Lee Kee Hiong, 58, akibat barah pada 21 Mac lalu.

Kerajaan Perpaduan mencalonkan Pang Sock Tao,31, yang akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainudin dari Parti Rakyat Malaysia dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN tersebut memiliki 40,226 pengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.


Pengarang :