Penunggang motosikal melintasi bendera parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu ketika tinjauan di sekitar Kerling, Hulu Selangor pada 3 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Penduduk KKB diseru buang undi, pilih pemimpin boleh bantu rakyat

SHAH ALAM, 10 MEI: Penduduk Kuala Kubu Bharu diseru keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang berlangsung esok.

Beberapa individu yang ditemui Media Selangor turut menyeru pengundi memilih wakil rakyat yang boleh membantu meringankan beban rakyat.

G Mogan

Pesara kerajaan, G Mogan, 62, berkata penduduk yang berkelayakan wajib membuang undi kerana wakil rakyat pilihan mereka akan menyelesaikan isu setempat kelak.

“Kita sebagai pengundi, mengundi hanya lima tahun sekali. Mesti datang mengundi walaupun hanya PRK kerana kita boleh mengadu apa-apa masalah kita,” katanya yang tinggal di Rumah Padang Golf Kuala Kubu Bharu.

Surmawati Nad Ali

Manakala suri rumah, Surmawati Nad Ali, 68 dari Kampung Sekolah Batang Kali berkata beliau mahu memilih wakil rakyat yang boleh membantu daripada segi ekonomi.

“Tolonglah keluar mengundi, jalankan tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia dan sebagai rakyat Kuala Kubu Bharu.

“Kita nak keamanan, kesejahteraan, kita hendak mengundi,” katanya yang mengakui mahu memilih pentadbiran sekarang di bawah Kerajaan Perpaduan.

Mahfuzah Lokman

Sementara itu, Mahfuzah Lokman, 48, berkata beliau melihat banyak perubahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu ketika ditadbir penyandangnya Lee Kee Hiong.

“Saya tengok banyak perubahan di Kuala Kubu Bharu daripada pekan kecil sekarang dah jadi perbandaran. Semua kemudahan sudah ada, nampak ada perubahan

“Wakil rakyat sebelum ni bertanggungjawab, semua aduan penduduk diselesaikan dengan cepat,” katanya yang tinggal di pekan Kuala Kubu Bharu.

V Nadarajan

Bagi V Nadarajan, 70, pula, beliau tidak menafikan ada pihak yang cuba memainkan isu 3R (Raja, Bangsa, Agama) namun memberi keyakinan sentimen itu tidak menjejaskan penduduk memilih wakil rakyat mereka.

“Sejak kebelakangan ini memang ada pihak mainkan sentimen agama, kaum tapi keseluruhan rakyat faham.

“Kita tahu benda itu tak akan menjejaskan, isu-isu sentimen hanya seseorang mahu ambil kesempatan tetapi ia tidak berjaya,” kata pesara kerajaan itu.

PRK Kuala Kubu Baharu berdepan saingan empat penjuru melibatkan calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao dicabar Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Kerusi DUN tersebut kosong berikutan kematian Kee Hiong pada 21 Mac selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.

Ini merupakan PRK ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum ke-15. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian esok manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).


Pengarang :