Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Ustaz Muhammad Farhan Wijaya pada Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Selangor Auditorium, Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Perkasa syiar Islam, Selangor jaga kebajikan pentadbir masjid

SHAH ALAM, 6 MEI: Kerajaan Negeri prihatin terhadap pembangunan Islam dengan melaksanakan pelbagai penambahbaikan dan aktiviti melibatkan masjid dan surau.

Selangor turut komited membela kebajikan penggerak rumah ibadat berkenaan seperti imam, bilal, nazir dan siak sebagai negeri yang sentiasa memperkasa syiar Islam.

Imam Masjid Kuala Kubu Bharu, Muhammad Fauzan Abdul Malek

Imam Masjid Kuala Kubu Bharu, Muhammad Fauzan Abdul Malek berpandangan kenaikan elaun membantu para pegawai masjid membuat simpanan yang mencukupi.

“Kenaikan ini membawa berita baik kepada golongan agamawan dan pentadbir masjid, lebihan kenaikan yang diperolehi boleh digunakan untuk tabung kecemasan.

“Saya berharap kenaikan yang diterima ini juga memenuhi keperluan lain dan tidak digunakan untuk kemahuan secara berlebihan,” katanya.

Bilal Masjid Bandar Utama Batang Kali, Mohamad Yusof Othman

Bilal Masjid Bandar Utama Batang Kali, Mohamad Yusof Othman pula berharap elaun bulanan bilal dikaji semula supaya ada penambahan dan diperluas kategori penerima.

“Kenaikan elaun memberi suntikan semangat buat para bilal untuk bertugas dan memberi komitmen padu. Namun, saya berpendapat perlu ditambah bagi menampung keperluan hidup masa kini.

“Saya juga berharap pihak berkaitan dapat mengadakan perbincangan dengan pihak imam dan bilal untuk dipertimbangkan meluaskan pemberian elaun kepada kategori bilal 3 dan bilal 4,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan bayaran kepada 760 imam negeri ini ditingkatkan sebanyak RM200 kepada RM1,500 sebulan mulai 25 Oktober lalu yang akan diselaraskan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata elaun bagi 1,900 nazir, bilal, dan siak juga dinaikkan RM50 sebulan kepada RM300 (nazir), RM340 (bilal) serta RM290 (siak).

Imam Surau Al-Ikhlas, Mansor Nor Nordin

Imam Surau Al-Ikhlas, Mansor Nor Nordin mengakui Kerajaan Negeri amat prihatin dengan memberi sumbangan baik pulih dan pengimarahan institusi itu sepanjang Ramadan.

“Saya mewakili kariah dan penduduk setempat amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan yang diberikan dan berharap ianya akan berkekalan di masa akan datang,” katanya.

Nazir Masjid Bandar Utama Batang Kali, Zakaria Mat

Manakala nazir Masjid Bandar Utama Batang Kali, Zakaria Mat berkata bantuan secara sekali bayar (one-off) oleh Kerajaan Negeri membantu ahli jawatankuasa menjalani aktiviti masjid.

“Sumbangan dapat menampung untuk pembayaran utiliti, meningkatkan kemudahan prasarana dan menjalani program keilmuan bersama pendakwah.

“Namun, saya mencadangkan sumbangan dapat ditingkatkan lagi yang akan memberi dorongan dan motivasi petugas masjid untuk terus berkhidmat,” katanya.


Pengarang :