Aksi pasangan kedua negara Sze Fei-Nur Izzuddin ketika menentang wakil Denmark Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dalam aksi kumpulan D Piala Thomas di Chengdu, China pada 30 April 2024. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

Piala Thomas: Denmark ungguli kumpulan D, atasi Malaysia 3-2

CHENGDU, 1 MEI: Malaysia terlepas peluang untuk mengungguli Kumpulan D selepas tewas kepada Denmark 3-2 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone di sini hari ini.

Ketika semua perseorangan lelaki tumbang, gandingan juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan naib juara kejohanan Badminton Asia 2024 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi penyelamat maruah skuad negara apabila masing-masing menyumbang satu mata.

Pemain profesional negara Lee Zii Jia terlepas mata pertama buat pasukan negara selepas tunduk kepada pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen yang jelas menguasai perlawanan apabila menang 21-16 di set pertama.

Ketika ketinggalan 13-18 pada perlawanan set kedua, Zii Jia cuba bangkit menyamakan kedudukan 18-18 sebelum perlawanan ditamatkan dengan kemenangan berpihak kepada Axelsen 24-22.

Aaron-Wooi Yik menyemarakkan semula peluang skuad negara apabila menyempurnakan mata pertama sekali gus mengikat kedudukan 1-1 selepas menang 17-21, 21-17, 21-16 mengatasi pasangan di ranking keempat dunia Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam masa 63 minit.

Denmark kembali di hadapan menerusi Anders Antonsen yang menyumbang mata kedua selepas mengecewakan Leong Jun Hao 21-14, 21-10.

Pasangan kedua negara Sze Fei-Nur Izzuddin juga tidak memberikan kemenangan mudah kepada jaguh Eropah itu apabila mengatasi pasangan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 23-21, 22-20 untuk mata kedua pasukan negara, sekali gus terikat 2-2.

Walaupun jurang besar dari segi ranking dunia, pemain di kedudukan ke-233, Justin Hoh ternyata tidak memberikan laluan mudah kepada Rasmus Gemke yang bermandi peluh sepanjang 76 minit sebelum berjaya menjinakkan Justin 13-21, 21-19, 13-21.

Ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut Malaysia kepada Denmark dalam saingan Piala Thomas selepas kali terakhir mengatasi jaguh Eropah itu 3-1 pada perlawanan suku akhir edisi 2014.

Malaysia yang sudah mengesahkan tempat di suku akhir, memulakan kempen Piala Thomas 2024 dengan dua kemenangan 5-0 masing-masing mengatasi Hong Kong pada Sabtu dan Algeria pada Isnin lepas.

Denmark pula memulakan kempen dengan kemenangan 5-0 mengatasi Algeria (Sabtu) dan Hong Kong (Isnin).

Saingan Piala Thomas berlangsung sehingga 5 Mei ini.

— BERNAMA


Pengarang :