Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong (mendiang) bersama dua warga emas yang menerima baucar Jom Shoppimg Skim Mesra Usia Emas (SMUE) pada 7 Februari 2023. Foto Facebook Lee Kee Hiong
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Warga emas dibela, nikmati bantuan negeri

SHAH ALAM, 1 MEI: Warga emas di Kuala Kubu Bharu mendapat pembelaan dan menerima pelbagai manfaat sepanjang hayat mendiang Lee Kee Hiong sebagai wakil rakyat.

Antara program yang dilaksanakan mendiang adalah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) yang menyediakan baucar beli-belah RM200 kepada penerima.

Yip Thin Choy

Pekerja kilang besi, Yip Thin Choy, 63, berkata beliau bersyukur kerana terpilih menerima SMUE pada tahun ini selepas menghantar permohonan menerusi pusat khidmat masyarakat.

“Tahun ini saya pertama kali dapat baucar SMUE. Saya gunakan untuk beli barangan makanan kepada keluarga dan dapat berjimat sedikit.

“Tetapi saya harap pada masa hadapan jumlah baucar dapat dinaikkan sedikit kerana banyak barangan semakin mahal,” kata bapa empat anak ini kepada Selangorkini.

Bagi peniaga makanan Rohana Jamal, 65, beliau memanfaatkan baucar SMUE dengan berbelanja barangan keperluan harian untuk anak, cucu dan suaminya yang terlantar akibat uzur.

“Saya ada dapat sekali dan saya gunakan untuk beli barang dapur. Saya hanyalah peniaga makanan kecil-kecilan, jadi baucar ini sangat berguna untuk saya membantu keluarga,” kata bekas pesakit barah payu dara ini.

Rohana Jamal (duduk, kanan)

Pesara R Velautham, 68, meluahkan syukur kerana dapat menambah pembelian barangan keperluan harian untuk keluarganya dan menganggap pemberian baucar tersebut sebagai hadiah hari jadi paling bermakna.

“Saya seronok dapat baucar kerana dapat beli barangan lagi banyak di pasar raya. Saya juga rasa gembira kerana warga emas seperti saya masih terima bantuan dari Kerajaan Negeri.

“Saya ada masalah jantung dan penyakit darah tinggi. Saya sudah tidak dapat kerja lagi untuk tambah pendapatan keluarga kerana sudah tidak kuat,” kata bapa tiga anak ini.

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas berusia 60 tahun ke atas dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian.

Bermula tahun lalu, nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan jumlah sama turut diberi kepada peserta SMIS melibatkan peruntukan RM37.5 juta.

Had kelayakan pendapatan isi rumah penerima baucar Jom Shopping juga ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

 


Pengarang :