Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi (tengah) yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi Faisal Halim di sebuah hospital pada 7 Mei 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PM doakan Faisal Halim segera sembuh, kembali berjuang dalam bola sepak

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan tonggak skuad Harimau Malaya Faisal Halim dikurniakan afiyah segera dan dapat kembali meneruskan perjuangan dalam sukan bola sepak.

Menerusi hantaran ringkas di Facebook malam tadi, Anwar memaklumkan Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi mewakili beliau menziarahi Faisal yang dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat disimbah asid.

“Mendoakan agar saudara Faisal dikurniakan afiyah sesegera mungkin dan dapat kembali meneruskan perjuangannya dalam sukan bola sepak,” menurut hantaran itu.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey disimbah asid dalam insiden di sebuah pusat beli-belah di Damansara Ahad lalu.

Menerusi gambar yang tular di media sosial, pemain Selangor FC itu kelihatan mengalami kecederaan di badan dan tangan akibat insiden tersebut dan beliau kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan.

– BERNAMA

Foto Facebook Selangor FC

Pengarang :