Kapten pasukan Terengganu FC (TFC) Tchetche Hermann Brice Kipre (tengah) diasak oleh pemain Selangor FC, Yazan mousa Mahmoud Al-Arab (kanan) pada saingan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus pada 22 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tingkat kawalan keselamatan pemain Terengganu FC

KUALA TERENGGANU, 6 MEI: Polis Terengganu meningkatkan kawalan keselamatan terhadap pemain Terengganu FC (TFC) susulan insiden serangan yang menimpa dua pemain bola sepak tempatan pada Khamis dan semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata pihaknya telah melantik seorang pegawai polis bertindak sebagai liaison officer menghubungkan polis dengan TFC.

“Melalui pegawai tersebut, kami telah meminta alamat tempat tinggal semua pemain TFC berserta nombor telefon mereka untuk Unit Kereta Peronda, Unit Rondaan Bermotosikal dan anggota Ronda Cegah Jenayah membuat rondaan serta pemantauan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden pemain Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim atau dikenali Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Selangor.

Sebelum itu pada Khamis, pemain TFC Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua individu dipercayai penyamun di kawasan kediamannya di sini.

Mohd Khairi bagaimanapun menafikan kedua-dua kejadian itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Sementara itu, beliau berkata polis telah memanggil beberapa pemain TFC bagi mengenal pasti motif kejadian.

– BERNAMA

 


Pengarang :