BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Islam bersemarak, penggerak masjid dibela, naik taraf pusat ibadah

Oleh ABDUL RAHIM SABRI & NAZLI IBRAHIM

Selangor menyediakan dana besar kepada pentadbir masjid dan surau demi mengangkat syiar Islam negeri ini.

Dalam 100 hari selepas menyambung tugas pada Ogos 2023, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengotakan janji Kerajaan Perpaduan dengan mengumumkan kenaikan elaun bulanan imam, bilal, siak dan nazir.

Berdasarkan manifesto Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun, Kerajaan Negeri mahu menaikkan elaun imam kepada RM1,600, RM700 (bilal), RM500 (siak) dan RM500 (nazir) secara berperingkat.

Pada 4 Oktober 2023, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju menambah elaun bulanan 760 imam sebanyak RM200 kepada RM1,500 seorang.

Manakala 1,900 pegawai masjid mendapat tambahan RM50 sebulan seorang kepada RM340 (bilal), RM300 (nazir) dan RM290 (siak).

Setakat Jun 2023, seramai 782 orang imam menerima RM1,300 sebulan setiap seorang.

Sementara bilal menerima RM290 seorang. Siak pula mendapat RM240 seorang.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memperuntuk dana RM11.7 juta setahun, termasuk RM7.6 juta daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk imam.

Untuk 782 orang bilal, jabatan tersebut menyediakan peruntukan RM2.2 juta, manakala dana untuk siak pula RM1.7 juta.

Keseluruhannya, elaun untuk imam dan penggerak masjid termasuk nazir, timbalannya, setiausaha dan bendahari berjumlah RM18.1 juta setahun pada 2023.

Jumlah ini tidak termasuk RM972,400 kepada penolong setiausaha, penolong bendahari, sembilan ahli jawatankuasa (AJK) dan dua pemeriksa kira-kira yang disumbang Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Sementara sumbangan agensi agama seperti Jakim dan LZS untuk menampung elaun pegawai dan jawatankuasa masjid bernilai RM19.1 juta setahun.

Perbelanjaan ini untuk 436 masjid yang dipecahkan kepada enam kategori: kariah (375 buah), institusi (17), naik taraf (26), diraja (lapan), daerah (sembilan) dan negeri (sebuah).

Demi menyemarak syiar Islam, belanjawan negeri tahun ini memperuntuk RM2 juta menaik taraf pentadbiran 20 masjid kariah kepada masjid pengurusan.

Masjid Kampung Melayu Rasa antara institusi dibangunkan Kerajaan Negeri.

Ia dirasmikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 23 Mac.

Siap kira-kira setahun lalu, masjid dibina atas tanah seluas enam ekar melibatkan kos pembinaan RM13 juta mampu menampung sehingga 1,600 jemaah pada satu-satu masa.

Berhubung kenaikan elaun, berikut temu bual dengan pentadbir Masjid Kampung Melayu Rasa pada 26 April yang melahirkan rasa gembira dan bersyukur:

“ Bantuan begini dapatlah bantu imam, bilal, siak kita untuk tampung mana yang perlu dan sambut raya lebih baik. Bantuan ini memang patut diteruskan.”

Kamarudin Abu Samah, 59, imam

“Untuk kenaikan baharu ini, syukur. Bolehlah menampung serba sedikit apa yang perlu tetapi kalau ikutkan keperluan harian, kalau boleh dipertimbangkan naikkan lagi sedikit.”

Abdul Ghani Abu Kassim, 67, nazir

“Alhamdulillah, saya rasa kenaikan ini memang wajar sebab tanggungjawab mereka menjalankan tugas, berkorban masa dan tenaga. Terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri.”

Muhamad Fais Abdul Ghani, 31, ahli jawatankuasa

 


Pengarang :