Orang ramai bersorak mengangkat plakad ketika Grand Finale Ceramah Mega Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pada 9 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRK Kuala Kubu Baharu penanda aras keteguhan Kerajaan Perpaduan

HULU SELANGOR, 10 MEI: Pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) bakal menjadi penanda aras keteguhan Kerajaan Perpaduan di Selangor dan negara secara amnya, kata setiausaha agung DAP.

Berucap dalam ceramah mega di sini malam tadi, Anthony Loke turut gembira melihat penyatuan semua parti gabungan dalam setiap gerak kerja kempen bersama calon Pang Sock Tao.

“Rakan-rakan dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (HARAPAN) dan semua pimpinan ahli akar umbi berkempen sebagai satu pasukan yang paling kuat.

“Inilah politik yang kita mahu bawa supaya Malaysia boleh maju ke hadapan. Formula ini juga yang dibawa pejuang negara yang menyumbang kepada kemerdekaan, iaitu perpaduan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berucap ketika Ceramah Mega Perpaduan menjelang PRK Kuala Kubu Baharu di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pada 9 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ceramah Mega Perpaduan menjelang PRK KKB di pekarangan Stadium Mini KKB turut menampilkan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata landskap politik yang dibawa Kerajaan Perpaduan ketika ini perlu terus diperkukuh demi masa depan pewaris bangsa.

Ahli parlimen Pontian itu turut menyeru masyarakat Melayu khususnya supaya tidak terbawa-bawa sentimen agama dan bangsa dalam memilih calon terbaik pada PRK esok.

“Kerajaan Perpaduan ini mewakili semua kaum. Inilah landskap politik yang kita akan bina pada masa depan. Bukan untuk kita tapi untuk anak cucu kita.

“Sebab itu hari Sabtu ini kita akan mengundi calon yang mewakili aspirasi Malaysia. Jangan terbawa-bawa dengan sentimen agama dan bangsa yang dihidangkan pembangkang,” katanya.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berucap ketika Ceramah Mega Perpaduan menjelang PRK Kuala Kubu Baharu di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pada 9 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Mujahid dalam ucapannya menasihatkan pengundi supaya ‘menghukum’ ahli politik yang sengaja membawa ketidakstabilan dan kucar-kacir dalam arena politik negara.

Jelasnya, perbezaan pendapat adalah perkara lumrah namun ia perlu dibezakan dengan tindakan fitnah atau berbohong demi meraih kepercayaan rakyat.

“Kalau tidak setuju dalam beberapa perkara itu biasa. Tetapi pengundi perlu ajar ahli politik ini. Walaupun berbeza pandangan jangan sesekali fitnah, berbohong dan timbulkan ketidakstabilan.

“Kita perlu tolak yang jahat dan gantikan dengan kebaikan. Inilah Kerajaan Perpaduan, kita juga tidak mahu amalkan dendam dengan orang lain seperti dendam yang pembangkang lakukan,” katanya.


Pengarang :