Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama calon Kerajaan Perpaduan selepas Grand Finale Ceramah Mega Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pada 9 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hasil tinjauan, HARAPAN yakin kerusi KKB kekal milik Kerajaan Perpaduan

HULU SELANGOR, 9 MEI: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor yakin calon Kerajaan Perpaduan mampu mengekalkan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keyakinan itu berdasarkan hasil peratusan dan tinjauan yang dilaksana jentera sepanjang kempen bermula pada 27 April lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Ceramah Mega Perpaduan menjelang PRK Kuala Kubu Baharu di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pada 9 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kempen yang kita jalankan berjalan dengan baik. Dari peratusan saya lihat dari masa ke semasa, kita yakin boleh kekalkan KKB.

“Cuma saya harap pengundi dapat keluar pada waktu pagi dan siang kerana petang dijangka hujan pada hari mengundi Sabtu ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui pada Ceramah Mega Perpaduan menjelang PRK di perkarangan Stadium Mini KKB di sini, malam tadi. Antara pemimpin yang hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan barisan pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Orang ramai bersorak mengangkat plakad ketika Ceramah Mega Perpaduan menjelang PRK Kuala Kubu Baharu di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pada 9 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin menambah, jentera Kerajaan Perpaduan akan meneruskan kempen sehabis baik khususnya bertemu pengundi di setiap pelosok menjelang hari terakhir kempen.

Ahli Parlimen Gombak itu bersyukur apabila semua jentera gabungan parti bersepakat dan menjalankan tugas dengan baik bagi memastikan kemenangan calon, Pang Sock Tao.

“Esok hari terakhir kempen dan kita akan teruskan kempen secara ‘local’ yang telah kita laksanakan. Dan sebenarnya dari segi angka dan saya buat perbandingan, jumlah yang kita turun (kempen) ke bawah jauh lebih besar.

“Ini terhasil kerana ada kesepakatan antara pimpinan. Setiap parti ada mengetuai jentera masing-masing dan saya gembira melihat usaha itu,” katanya.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao berucap ketika Ceramah Mega Perpaduan menjelang PRK Kuala Kubu Baharu di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pada 9 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kerajaan Perpaduan mencalonkan Sock Tao, 31, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN KKB yang akan diadakan pada Sabtu ini.

Sock Tao berdepan saingan empat penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainudin dari Parti Rakyat Malaysia dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat barah pada 21 Mac lalu.


Pengarang :