AGENDAJENAYAH

Terperdaya skim pelaburan saham palsu, kerani wanita rugi RM109,540

KUANTAN, 6 MEI: Seorang kerani wanita sebuah syarikat swasta mengalami kerugian RM109,540 selepas terpetdaya dengan skim pelaburan tidak wujud dalam talian Mac lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pada mulanya ibu tunggal yang berusia 37 tahun itu telah berminat untuk menyertai skim pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan lumayan menerusi laman Instagram.

Beliau berkata mangsa seterusnya menggunakan sumber kewangan sendiri selain pinjaman daripada rakan dan keluarga telah membuat 41 transaksi ke beberapa akaun bank berbeza.

“Mangsa kemudiannya tersedar telah ditipu selepas suspek meminta pelbagai bayaran tambahan untuk pelaburan tersebut sebelum dia dapat mengeluarkan keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud atas talian dan membuat semakan nombor akaun serta telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

— BERNAMA


Pengarang :