Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk ketika Sambutan Raya Anak Muda di Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tumpu kelompok sasar, negeri yakin hapus miskin tegar tahun ini

HULU SELANGOR, 1 MEI: Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk menghapuskan keluarga miskin tegar selewat-lewatnya pada Julai ini.

Dato’ Menteri Besar berkata berdasarkan taklimat daripada Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor, sejumlah 861 orang masih berada dalam kategori miskin tegar.

“Selepas saya diberikan taklimat semalam, daripada 8,000 orang dalam senarai miskin tegar pada Januari tahun lalu, sekarang hanya tinggal 861 orang sahaja.

“Ada sebahagian daripada mereka yang hanya perlukan tambahan RM17 daripada pendapatan mereka untuk mereka keluar daripada senarai miskin tegar. Kita tumpu kelompok sasar dan saya yakin dapat menamatkan miskin tegar.

“Jadi, saya percaya dengan pemberian Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) RM300 sebulan dicampur dengan zakat sebab (dalam jumlah senarai miskin tegar itu) kita ada 500 lebih masyarakat Melayu dan selebihnya bukan Melayu yang akan dapat kita tangani,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Sambutan Raya Anak Muda bersama calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (dua, kanan) di Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2024.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Anak Muda Batang Kali di Bandar Baru Batang Kali di sini, malam tadi. Hadir sama Penyelaras Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad dan barisan kepimpinan parti.

Amirudin menambah semua daerah merekodkan penurunan ketara bagi senarai penduduk miskin tegar dengan daerah Sepang berjaya mencatatkan sifar miskin tegar.

Selangor melaksanakan lebih 40 skim bantuan menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP) menjadikan negeri ini antara tertinggi miliki program kebajikan rakyat.

Inisiatif merangkumi semua aspek penting antaranya pendidikankesihatan serta ekonomi yang bertujuan merapatkan jurang dalam masyarakat.

Usaha pembasmian miskin tegar adalah antara agenda utama Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara dapat dinikmati semua pihak tanpa ada yang tercicir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk ketika Sambutan Raya Anak Muda di Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk ketika Sambutan Raya Anak Muda di Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman bersama penduduk pada Majlis Ramah Mesra Penduduk Batu 30 di Taman Perumahan Batu 30 Batang Kali pada 30 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :