Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri tumpu pendidikan teknikal, vokasional penuhi keperluan pekerja mahir

SHAH ALAM, 20 JUN: Kerajaan Negeri giat menjalin kerjasama dengan pelbagai syarikat antarabangsa untuk melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi kehendak industri.

Dato’ Menteri Besar berkata Selangor mementingkan pembangunan ekosistem pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) seiring keperluan bidang strategik di pasaran.

Maklum Dato’ Seri Amirudin Shari, antara kerjasama yang sudah dimeterai termasuk bersama FESTO Pte. Ltd dan Universiti Teknikal Munich (TUM) serta Siemens Malaysia.

“Selain itu, kerjasama bersama Dassault Systemes yang dijangka dimuktamadkan September nanti berkait sektor pembuatan kereta, kapal terbang dan kereta api untuk membuka lebih banyak peluang kepada anak muda.

“Masalah kita ialah TVET ini dijadikan pilihan kedua atau tempat budak yang tidak dapat masuk universiti. Ini menyebabkan graduan yang lahir tidak boleh mengisi bidang strategik seperti aeroangkasa, pembuatan kereta, elektrik dan elektronik, pengurusan data dan perisian serta pengaturcaraan komputer.

“Kadangkala kursus profesional ini memerlukan pelajar pintar yang faham matematik tambahan, dapat A matematik, tetapi ini tidak berlaku,” katanya dalam sesi Sembang Malam: 5 Tahun Amirudin Shari Mengurus Krisis dan Mentadbir Negeri yang disiarkan secara langsung di tiktok SelangorTV malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata bidang TVET di negara ini sepatutnya melahirkan tenaga kerja mahir namun sebaliknya berlaku apabila banyak melahirkan tenaga kerja dengan pendapatan rendah.

“Tidak salah, tetapi gaji itu tidak tinggi. Bila saya jumpa pelabur mereka mahukan yang ada kemahiran tertentu tetapi kita tiada. Jadi kita buat ekosistem ini di Malaysia supaya peluang kerja dan pendapatan berkualiti (dapat dijana) untuk semua.

“Mungkin Universiti Selangor (UNISEL) akan dijadikan sebagai universiti TVET untuk penuhi pasaran pekerja yang diperlukan oleh sektor di Selangor,” katanya.

 


Pengarang :