Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis perasmian Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Aeroangkasa, penerbangan antara industri tumpuan dalam pelan lima tahun negeri

SUBANG JAYA, 8 SEPT: Industri aeroangkasa dan penerbangan antara sektor tumpuan dalam pelan pembangunan lima tahun negeri Rancangan Selangor Pertama (RS-1), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menyedari keperluan memartabatkan industri terbabit supaya negeri ini menjadi hab aeroangkasa di peringkat global khususnya Asia Tenggara.

“Antara pengubah permainan (game changer) tersenarai dalam RS-1 ialah Taman Aero Angkasa Antarabangsa Selangor (SAP) yang dibangunkan atas tanah seluas 2,000 ekar.

“Taman ini dibangunkan untuk menampung permintaan yang semakin meningkat daripada pemain industri sedia ada dan baharu untuk menubuhkan operasi serantau di Malaysia,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pembukaan Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC) di sini yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melihat Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Amirudin berkata pusat kecemerlangan dron Selangor di Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya turut dibangunkan bagi menyokong ekosistem dron di negara ini.

“Kita juga membangunkan Bernam Arfield yang terletak di sempadan Perak. Lapangan ini akan diperbaharui dan menyediakan aktiviti pesawat ringan seperti penerbangan rekreasi dan latihan,” katanya.

Bermula tahun lalu, Selangor menganjurkan SAS di Subang bagi membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri dan mendedahkan orang ramai dalam penerbangan.

Edisi kedua penganjuran berlangsung mulai hari ini hingga Sabtu yang disertai 56 syarikat membabitkan 63 pempamer antaranya Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.

Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :