Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat daripada Ketua FESTO Didactic Asia Pasifik Volker Schmid tentang kebolehan automasi di FESTO Pte Ltd, Singapura pada 22 Ogos 2022. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor-Singapura pacu pendidikan automasi, sedia tenaga kerja mahir (VIDEO) 

SHAH ALAM, 6 SEPT: Kerjasama antara Selangor dan Singapura dalam bidang pendidikan khususnya automasi mampu meningkatkan kemampuan negeri dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran terkini untuk pasaran negara dan ASEAN.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu digerakkan negeri menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) bersama FESTO Pte. Ltd dan Universiti Teknikal Munich (TUM) menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai baru-baru ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga yakin kerjasama berkenaan mampu mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional negeri berkelas dunia.

“MoU ini dijangka meningkatkan kemampuan negeri dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran terkini di Malaysia dan juga ASEAN.

“Turut di Singapura, perbincangan bernas bersama Dr Maliki Osman selaku Timbalan Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Luar Singapura, kami berkesempatan bertukar pandangan dan berbicara tentang potensi kemajuan di Singapura dan Malaysia khususnya Selangor,” tulisnya di Facebook hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor dengan FESTO Pte. Ltd dan Universiti Teknikal Munich di Singapura pada 22 Ogos 2022. Foto Facebook Amirudin Shari

Pada 22 Ogos lalu, Amirudin mengetuai delegasi Selangor melawat FESTO Pte. Ltd di Singapura bagi memeterai MoU bersama syarikat itu dan TUM dalam bidang pendidikan khususnya automasi.

Dalam lawatan berkenaan, delegasi Selangor turut diberi penerangan oleh Ketua FESTO Didactic Asia Pasifik Volker Schmid berhubung kebolehan automasi yang dimiliki oleh syarikat itu.

“Alhamdulillah, lawatan ke Singapura ini banyak membawa banyak kebaikan dan manfaat yang boleh dikongsi bersama rakyat Selangor. Semoga hubungan akrab bersama jiran terdekat kita terus kukuh,” katanya lagi.

STDC merupakan institusi pendidikan teknikal bawah Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebagai pemegang saham terbesar dalam syarikat.

 

 


Pengarang :