Mangsa Siksa Bekas Suami Dapat Khidmat OSCC

PUCHONG : Golongan wanita negeri ini yang menghadapi masalah keganasan rumah tangga diseru untuk segera menghubungi Pusat Khidmat Krisis Sehenti atau One Stop Crisis Centre (OSCC).

Seruan itu dibuat Exco Wanita, Dr. Rodziah Ismail ketika membuat lawatan ke atas mangsa kekejaman bekas suami di sebuah flat kos rendah di sini petang tadi.

“OSCC menyediakan khidmat bantuan professional menyeluruh kepada mangsa-mangsa keganasan.

“Yang penting, mangsa jangan takut dan malu untuk mendapatkan bantuan di OSCC kerana kita wujud untuk membantu mereka,” jelas Rodziah.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu akan menyediakan pelan jangka panjang bagi membantu mangsa yang dikunjungi hari ini, Rasidah Mohamed, 38.

“Kita akan membantu beliau menjana pendapatan bagi menampung kehidupannya bersama lima anak.

“Memang beliau ada menerima bantuan setiap bulan namun itu masih tidak mencukupi,” ujar beliau.

Selain itu, demi keselamatan mangsa dan anak-anak, Rodziah meminta agar satu Interim Protection Order (IPO) dapat dikeluarkan bagi menghalang bekas suami mendekati mangsa.

Difahamkan, selewat-lewatnya Isnin ini mangsa akan memperolehi IPO tersebut.

Sementara itu, Rasidah yang kelihatan sebak sepanjang lawatan menyatakan rasa terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan Exco Wanita tersebut.

“Saya sangat terharu kerana sebelum ini tiada siapa yang peduli apa yang kami anak beranak alami.

“Saya akan ambil semangat yang YB (Rodziah) berikan untuk besarkan anak-anak saya dengan baik kerana merekalah harta saya,” ujar Rasidah sebak.

Ibu beranak lima ini diserang malam Ahad lalu oleh bekas suami kerana enggan memberikan wang yang diminta lelaki tersebut.

Akibatnya, beliau ditumbuk serta diseret bekas suami dengan disaksikan anak-anak yang berusia lingkungan 15 tahun hingga dua tahun.

“Anak saya yang sulung dengan yang 12 tahun juga terkena tumbukan semasa menahan bekas suami dari terus mengasari saya, itu yang saya paling takut,” jelasnya.

Dengan bantuan jiran-jiran, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Bandar Puteri Ahad lalu.

 


Pengarang :