PKNS Kemukakan Notis Tuntutan Terhadap Utusan Malaysia Dan Zaini

SHAH ALAM, 2 NOV : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mengemukakan notis tuntutan terhadap Utusan Malaysia dan penulis ruangan ?Cuit? akhbar itu, Zaini Hassan, berhubung artikel yang berunsurkan fitnah terhadap pemaju hartanah itu.

Tindakan ini selari dengan saman Kerajaan Selangor terhadap akhbar itu yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Rabu ini.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata, artikel yang disiarkan dengan tajuk ?Jual aset PKNS : Sultan Selangor murka?? bertarikh 31 Oktober 2012 seolah-olah memberi gambaran yang PKNS terlibat dalam amalan bisnes yang tidak sah, terlibat dengan kesalahan jenayah, tidak jujur, korup dan tidak beretika.

Beliau berkata, penyiaran artikel berkenaan juga memberi gambaran seolah-olah PKNS telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Selangor.

?Kenyataan yang dikeluarkan adalah salah, berniat jahat dan ditulis semberono tanpa usul periksa dengan tujuan tertentu,? katanya.

PKNS menuntut Utusan Malaysia dan Zaini mengeluarkan artikel berkenaan dari siaran, dan mengemukakan permohonan maaf kepada PKNS di akhbar atau media yang dipilih PKNS.

Akhbar tersebut dan Zaini harus memberi akujanji untuk tidak akan mengulangi sebarang kenyataan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan dan seumpamanya.

?Selain tuntutan ganti rugi, PKNS tidak akan teragak-agak untuk meneruskan tindakan undang-undang sekiranya maklumbalas yang diterima oleh pihak yang dituntut tidak memuaskan,? katanya dalam satu kenyataan media kepada TV Selangor.

Artikel itu mendakwa PKNS dan Kerajaan Selangor akan menjual lima aset PKNS iaitu Kompleks PKNS Shah Alam dengan harga RM 85 juta, Menara PKNS Petaling Jaya (RM90 juta), Shah Alam Convention Centre (RM97 juta), Kompleks PKNS Bangi (RM42 juta) dan Wisma Yakin (RM7 juta).

Perkara ini turut dibangkitkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas tani, Datuk Seri Noh Omar.

Abdul Khalid dan PKNS telah menegaskan, bahawa semua aset ini tidak akan dijual kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya lima bangunan milik PKNS akan dipindahmilik kepada anak syarikatnya milik penuh PKNS iaitu Private Real Estate Company (PREC) bagi meningkatkan pengurusan aset tersebut.


Pengarang :