PAC puas hati penambahbaikan PWS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 JUN: Penambahbaikan dilakukan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dalam sistem pengurusan hartanah wakaf bagi mengekang penyalahgunaannya disambut baik Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negeri (PAC).

Pengerusinya, Ng Suee Lim, berkata pihaknya berpuas hati dengan laporan dikemukakan PWS dalam sesi pendengaran tertutup bersama jawatankuasa berkenaan, hari ini.

CP2A1479-800x533“Saya berpuas hati, namun terdapat data dikemukakan masih tidak begitu jelas kerana mereka tertakluk di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri.

“Walaubagaimanapun, PAC secara keseluruhannya berpuas hati dengan laporan ini,” katanya kepada SelangorKini, di sini.

Beliau berkata demikian selepas sesi pendengaran tertutup PAC berhubung laporan pejabat Ketua Audit Negara berkenaan aktiviti jabatan dan agensi termasuk pengurusan syarikat Kerajaan Negeri 2014.

Sesi pendengaran terbabit turut dihadiri tiga ahli jawatankuasanya iaitu ADN Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; ADN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan ADN Batu Tiga, Rodziah Ismail.

PWS diwakili Pengerusinya, Datuk Ramli Mahmud.

CP2A1398-800x533Mengulas lanjut, Suee Lim berkata, PAC merujuk laporan PWS ke jawatankuasa berkenaan sebagaimana disentuh pejabat Ketua Audit Negara.

“Kita melihat terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan hartanah PWS dan daripada taklimat dijalankan ada penambahbaikan dilakukan.

“Melalui teguran pejabat Ketua Audit Negara, kita dapati PWS sudah mengambil pendekatan untuk memperbaiki dan menyusun semula sistem sedia ada,” katanya.

Berdasarkan hasil laporan itu, katanya, PAC yakin penambahbaikan dilaksanakan mampu mendatangkan manfaat dalam pembangunan khususnya berkenaan hartanah wakaf di Selangor demi kebaikan umat Islam.

“Saya harap Selangor akan menjadi negeri dengan pengurusan wakaf yang begitu komprehensif dan efektif,” katanya.

-AA-


Pengarang :