Halangan berpuasa, Putrajaya perlu bidas tindakan Beijing

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JUN: Putrajaya perlu mengambil pendirian tegas susulan tindakan Beijing yang menghalang masyarakat Islam negara itu menyambut Ramadan.

Senator Dewan Negara, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata pendirian terbabit perlu disuarakan Duta Malaysia ke China bagi menjamin hak masyarakat Islam di wilayah Xinjiang.

Nur-Manuty“Saya menggesa Malaysia sebagai wakil negara-negara OIC dan Duta Malaysia ke China perlu membuat protes atau menghantar surat bantahan terhadap sekatan itu.

“Sejak kebelakangan ini, protes ke atas umat Islam khususnya terhadap sekatan ekonomi, politik dan sosial semakin menjadi-jadi dan kerajaan China nampaknya semakin rakus dan sombong dengan mengadakan sekatan ini,” katanya.

Media melaporkan, China kini mengarahkan anggota Parti Komunis China untuk tidak berpuasa sepanjang Ramadan dengan beranggapan bahawa amalan itu bertentangan dengan prinsip mereka.

Pegawai kerajaan, pelajar dan guru turut terikat di bawah larangan berkenaan dan tidak dibenarkan berpuasa.

Pada masa sama, Kerajaan Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengulas tindakan China yang dianggap bertentangan dengan hak masyarakat Islam sejagat.

XinjiangMengulas lanjut, Manuty yang juga Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN berpandangan bahawa hak masyarakat Islam tidak boleh dinafikan, selaras tuntutan beragama.

“Kita dapat nyatakan kekecewaan dan kekesalan ke atas rejim kerajaan China yang tidak membenarkan umat Islam berpuasa di luar kawasan majoriti China.

“Perbuatan ini menyalahi hak asasi manusia untuk beribadah secara bebas dan bertentangan dengan piagam bangsa-bangsa bersatu (PBB) yang sepatutnya hak mereka (Islam) itu disantuni,” katanya.

-AA-


Pengarang :