EURO 2016: Rusia ikat England 1-1

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 12 JUN: England sekadar seri 1-1 menentang Rusia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B awal pagi ini.

Perlawanan berlangsung seimbang menyaksikan England selaku pasukan pilihan hanya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-73 menerusi sepakan percuma kencang Eric Dier.

Ketika tiga mata penuh hampir menjadi milik mutlak England, Rusia akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan menerusi tampanan Vasili Berezutski selepas menyambut tandukan lambung Georgi Shchennikov.

Anak buah Roy Hodgson nyata kecewa dengan keputusan itu selepas berjaya merekodkan aksi cemerlang sepanjang kempen kelayakan.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Wales berjaya menundukkan Slovakia 2-1.

Pemain termahal dunia, Gareth Bale membuka tirai jaringan Wales pada minit ke-10 menerusi sepakan percuma.

Slovakia hanya berjaya bangkit pada separuh masa kedua menerusi rembatan pemain gantian Ondrej Duda pada minit ke-61 sebelum Robson-Kanu memastikan tiga mata penuh milik Wales menerusi jaringan pada minit ke-81.

Sebelum itu dalam perlawanan kedua Kumpulan A menyaksikan Switzerland membenam cabaran Albania menerusi jaringan tunggal Fabian Schaer.

Perlawanan itu menyaksikan Loric Kana menjadi pemain pertama yang dilayangkan kad merah dalam edisi Euro 2016.

Sejarah turut tercipta dalam perlawanan ini apabila dua adik-beradik Xhaka, Taulant dan Granit masing-masing bertembung mewakili negara berbeza.

EZY


Pengarang :