Sultan rasmi Masjid Nurul Hidayah Kampung Seri Cheeding

OLEH : NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 12 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Nurul Hidayah di Kampung Seri Cheeding, di sini sempena Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat dan penyampaian sumbangan hari raya.

Masjid itu mula dibina pada 1970 yang boleh memuatkan seramai 700 jemaah pada sesuatu masa dengan kos pembinaan sebanyak RM250,000.

kuala langat 3Masjid yang berusia lebih 40 tahun itu masih kukuh dan menjalani proses naiktaraf yang kedua pada tahun 1972.

Sejajar dengan perkembangan kampung itu, masjid terbabit sekali lagi dinaiktaraf pada 1984 dengan menyediakan tambahan keluasan ruang solat berjemaah lelaki dan wanita, bilik mandi, tandas, ruang pejabat dan bilik kuliah.

Baginda turut berkenaan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 281 fakir, miskin dan 146 saudara baru di daerah itu.

Hadir mengiringi baginda Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Pegawai Daerah Kuala Langat, Rosli Othman berkata, daerah Kuala Langat kini pesat membangun dengan galakan pertumbuhan dan kesan ‘spilled over’ dari segi pembangunan guna tanah.

Katanya, antara projek besar yang akan dibangunkan ialah projek Bandar Rimbayu, Bandar Saujana Putra dan Marina Bay Resort City.

“Sebagai contoh Bandar Rimbayu merupakan pembangunan bandar baru yang berteraskan bandar kediaman terancang seluar 751.6 hektar.

“Projek pembangunan ini bernilai RM11 bilion mengambil masa 12 tahun untuk siap sepenuhnya termasuk 10,000 unit kediaman, pejabat dan pusat komersial,” katanya dalam ucapan.

Beliau berkata beberapa langkah proaktif untuk membangunkan sumber air baru diambil kira bagi memastikan kekurangan bekalan air diatasi.

“Ia dilakukan melalui projek pembangunan labuhan dagang yang akan dapat mengatasi masalah kekurangan air yang berlaku di Sijangkang, Bukit Changgang dan beberapa kawasan lain,” katanya.

EZY


Pengarang :