SUARAM kecam lantik peguam Umno Duta Besar Hak Asasi Manusia

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 JUN : SUARAM mengecam pelantikan Peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai Duta Besar Tugas-Tugas Khas Mengenai Hak Asasi Manusia bagi penggal dua, 2016 hingga 2018.

Pengarah Esekutifnya, Sevan Doraisamy, berkata pelantikan tersebut hanya memperlihatkan komitmen rendah Kerajaan Persekutuan mempertahankan prinsip hak asasi manusia di negara ini.

“Pencabulan hak asasi manusia berterusan dan sekatan terhadap kebebasan bersuara serta hak asasi adalah bukti kerajaan Malaysia kurang berminat dalam memenuhi tanggungjawabnya mempertahankan hak asasi manusia.

“Jika kerajaan Malaysia ikhlas dalam komitmennya terhadap hak asasi manusia di Malaysia, ia akan dilantik pesuruhjaya baru dan meningkatkan peruntukan kewangan untuk Suhakam bukannya memotong separuh belanjawan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Shafee adalah antara individu yang terlibat dalam kes konspirasi dan dakwaan politik terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga merupakan peguambela kepada Abdul Razak Baginda dalam kes pembunuhan berprofil tinggi, Altantuya Shaariibuu.

Kementerian Luar dalam kenyataan sebelum ini berkata, pelantikan Muhammad Shafee kononnya adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk terus memperjuangkan dan melindungi hak asasi manusia.

Bagaimanapun, Doraisamy Kerajaan Malaysia perlu memastikan hak dan prinsip asasi manusia itu dipelihara dengan melantik individu berkredibiliti.

Katanya, keputusan tersebut hanya memperdayakan masyarakat antarabangsa sekali gus memburukkan lagi rekod hak asasi manusia negara di peringkat global.

EZY


Pengarang :