Selangor Catat Nilai Pengeluaran Pertanian RM 1.57 Billion


SHAH ALAM, 10 JUL : Walaupun Selangor terkenal sebagai negeri industri di mana hampir 80 peratus adalah kawasan bandar, namun Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada bidang pertanian sehingga mencatat nilai pengeluaran sebanyak RM1.58 bilion pada 2011.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Luar Bandar, Yaakob Sapari berkata, pengeluaran pertanian itu adalah merujuk kepada florikultur, sayur-sayuran, padi, herba dan rempah ratus, tanaman industri, tanaman buah-buahan serta tanaman ladang dan kontan.

Beliau berkata, penerokaan terhadap ‘Natural Farming’ dalam penanaman sayur-sayuran dan padi membantu menghasilkan produk pertanian yang selamat dan mesra alam.

“Penggunaan bahan ‘Natural Farming’ menggantikan racun dan baja kimia yang mahal dapat membantu mengurangkan kos operasi petani,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri juga giat mempromosikan pertanian lestari untuk memastikan alam sekitar terus terpelihara dan kesihatan pengguna terjamin.

Tambahnya, pensijilan Amalan Ladang Baik (SALM) dan Skim Organik Malaysia (SOM) adalah salah satu usaha untuk memastikan pengeluaran makanan mengamalkan amalan pertanian yang baik.

“Ladang-ladang yang berjaya melalui proses pemeriksaan ladang yang berkala akan diberi sijil SALM dan SOM serta disahkan telah mengamalkan amalan baik pertanian (GAP) dan menghasilkan produk organik,” ujarnya.


Pengarang :