Kerajaan Negeri Tidak Sekat BN Mohon Geran Selangorku

SHAH ALAM, 10 JUL : Kerajaan Negeri Selangor tidak menyekat permohonan pihak pembangkang (Umno-BN) sekiranya ingin menggunakan peruntukan Geran Selangorku di kawasan masing-masing bagi pembangunan infrastruktur.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, permohonan peruntukan itu tidak hanya terhad kepada Adun sahaja, tetapi turut terbuka kepada persatuan dan ketua kampung.

“Kerajaan Negeri tidak menyekat sebarang permohonan daripada mana-mana pihak. Malah, sejak ia dilancarkan, kita menerima banyak permohonan, tetapi keutamaan itu kebiasaannya diberikan kepada Adun berkenaan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian semasa menjawab pertanyaan mulut daripada Datuk Muhammad Bushro Mat Johor (Paya Jaras-BN) berhubung penggunaan Geran Selangorku dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memantau pelaksanaan projek di bawah peruntukan geran itu secara berkala bagi memastikan ia diurus secara telus.

“Kos yang kita buat tidak berikan keuntungan lumayan kepada kontraktor. Pemberian projek dibuat secara sebut harga dan dipantau pelaksanaannya. Kita akan buat semakan sekiranya berlaku keraguan.

“Kerajaan Negeri memberi kepercayaan kepada profesional seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan PBT untuk jalankan tugas mereka dengan cara terbaik supaya duit amanah untuk kepetingan rakyat itu berjalan dengan baik,” ujarnya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) berhubung peruntukan Geran Selangorku dalam Bajet 2013, Abdul Khalid menjelaskan ia bergantung kepada keuntungan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sejumlah RM300 juta bagi pelaksanaan ?Geran Selangorku? melalui Bajet 2012 untuk faedah rakyat Selangor.

Peruntukan geran ini adalah berasaskan dana sumbangan dividen daripada GLC Negeri serta keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk dari Syarikat Talam Corporation.

Antara program yang dilaksanakan melalui Geran Selangorku adalah pengenalan gaji minima (RM10 juta), program memperkasakan wanita (RM30 juta), program keusahawanan muda (RM30 juta), pembinaan infrastruktur sukan (RM30 juta), program sokongan pendidikan (RM30 juta).

Selain itu, program dari kebajikan kepada pekerjaan (RM20 juta) dan program jangkaan kehidupan bandar (RM10 juta), infrastruktur (RM50 juta), program pembasmian rasuah dan penyelewengan (RM15 juta) dan program pengukukan demokrasi (RM5 juta).

Di samping itu, program pengukuhan budaya (RM3 juta), pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar (RM5 juta), program pejabat ke rakyat (RM10 juta), program penerangan maklumat negeri (RM10 juta), program peningkatan kualiti hidup rakyat (RM5 juta), program peningkatan kemahiran penjawat awam (RM5 juta) dan penggerak dan pembangunan luar bandar (RM22 juta)


Pengarang :