OLEH : NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 12 JUN: Peniaga makanan termasuk di bazar Ramadan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) boleh dikenakan kompaun RM1,000 jika masih menggunakan bekas makanan polestrin.
Yang Dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata penguatkuasaan itu dibuat selepas MPSJ mula memperkenalkan kempen ini bagi tujuan mendidik peniaga terhadap kesan polestrin kepada alam sekitar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Tahun sudah kita cuma kempen mengingatkan tetapi kali ini kita buat betul-betul. Sesiapa yang masih memakai polestrin dikompaun RM1,000.
“Kita harap peniaga patuh sebab kita dah beritahu sebelum ini. Setakat lima hari puasa ini belum ada lagi dikenakan kompaun dan diharap keadaan ini terus kekal,” kata Nor Hisham kepada pemberita di Pasaraya Mydin di sini, semalam.
Katanya, selain isu penggunaan bekas makanan polestrin, MPSJ turut membuat pemeriksaan harian terhadap tahap kebersihan peniaga makanan di semua 22 Bazar Ramadan di dalam pentadbirannya.
Antara langkah diambil adalah mengambil sampel makanan dijual oleh peniaga oleh Jabatan Kesihatan MPSJ.
Katanya, sehingga kini MPSJ belum menerima sebarang aduan keracunan makanan sama ada daripada orang ramai atau media.
EZY