Patin bakar tempoyak Bazar Damansara Damai, edisi terhad!

OLEH : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 12 JUN: Walaupun jam baru sahaja menunjukkan jam 6.30 petang tetapi, Arizal Hafidz, 29, dengan dibantu adiknya sudah mula bersiap-siap berkemas untuk pulang.

Sedang mereka leka berkemas, gerai terletak di Bazar Ramadan Damansara Damai itu masih juga didatangi beberapa pelanggan bertanyakan sama ada ikan patin bakar tempoyaknya masih ada.

“Dah habislah kak. Ini nombor telefon saya, lain kali akak boleh cuba telefon saya dulu. Saya boleh simpankan untuk akak,” kata Arizal kepada wanita itu.
Sambil mengucapkan terima kasih, wanita tadi berlalu pergi dengan wajah yang agak kecewa.

20160610_184124-1Demikianlah senario tatkala tinjauan SelangorKini di gerai perniagaan Patin Bakar Tempoyak diusahakan Arizal bersama adiknya itu.

Jelas Arizal, senario itu bukanlah kali pertama berlaku malah boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja para pelanggannya yang terpaksa pulang hampa.

Ini kerana kehabisan ikan patin bakar tempoyaknya atau awal-awal lagi sudah ditempah oleh pelanggan lain terlebih dahulu.

“Kalau lambat memang tak merasa sebab itulah ramai pelanggan yang tempah awal-awal.

Memang tak sampai hati bila tengok pelanggan datang tetapi dah habis sebab itulah saya beri nombor telefon bila ada pelanggan minta supaya mereka boleh hubungi saya untuk tempahan awal,” katanya.

Apabila ditanya, apakah rahsia yang menyebabkan ikan patin bakar tempoyak yang dijualnya begitu laris, Arizal memberitahu selain disebabkan terdapat kelainan berbanding kebanyakkan jenis masakan lain beliau juga menggunakan ikan patin segar dari Temerloh dan bahan segar di samping menggunakan resepi rahsia diturunkan oleh arwah ibunya.

“Ikan patin bakar tempoyak memang susah sangat nak jumpa di sini. Ikan patin yang saya gunakan ini pula didatangkan khas dari Kampung Bangau, Temerloh, Pahang dengan menggunakan penghantaran melalui bas setiap hari. Saya tak guna ikan patin yang diternak di kolam kerana rasanya berbeza.

“Tempoyak pula ada dua jenis, ada yang jenis masam yang lebih sesuai untuk gulai tempoyak tetapi untuk bakar hanya sesuai tempoyak durian manis yang memerlukan durian lebih segar dan baik.

“Biasanya tempoyak juga saya buat sendiri, cuma sekali sekala saya beli dari pembekal khas saya tetapi sebelum beli saya akan rasa dahulu tempoyak itu untuk memastikan rasanya tepat,” kata anak muda yang pernah bertugas di dapur beberapa hotel terkemuka di ibu negara itu.

Katanya lagi, selain ikan patin, Arizal turut menawarkan ikan talapia yang turut dibakar bersama tempoyak.

Bagi penggemar ikan sungai yang ingin mencuba ikan patin bakar tempoyak dengan resipi khas ibu Arizal, bolehlah dapatkan di Bazar Ramadan Damansara Damai tetapi jangan lambat kalau tidak, nanti melepas!

EZY


Pengarang :