NASIONAL

Komitmen Eco World santuni masyarakat dipuji

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 OKT: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik komitmen penubuhan Kelab Kesukarelawan Yayasan Eco World dalam memainkan fungsi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), demi kebajikan dan kepentingan masyarakat.

Beliau berkata, penubuhannya sekali gus dapat mempromosi dan menggalakkan penyertaan sukarelawan daripada kakitangan EcoWorld supaya sentiasa bersedia berkhidmat hingga ke peringat akar umbi.

Katanya, sehingga kini, lebih 300 kakitangan EcoWorld seluruh negara meliputi kawasan Utara, Tengah dan Selatan sudah berjaya mendaftar menjadi sebahagian daripada kelab program kebajikan berkenaan, termasuk kakitangan Malaysia di Pejabat Antarabangsa.

“Justeru, saya memuji usaha murni mereka yang sanggup berkorban daripada segi masa, tenaga dan sumber demi melaksanakan kegiatan amal yayasan itu.

“Secara tidak langsung, pembabitan aktif dalam kerja kebajikan ini jelas membuktikan bahawa negara kita memiliki masyarakat prihatin dan banyak pihak yang berperanan menjaga kebajikan golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengahari dan Apresiasi Yayasan Eco World 2018, di New World Hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi Kumpulan Pembangunan Eco World Berhad, Ta Sri Liew Kee Sin.

Mohamed Azmin berkata, selain membantu golongan memerlukan dan kurang bernasib baik, yayasan itu memainkan fungsi tersendiri dalam memperjuangkan bidang pendidikan melalui Program Bantuan Pelajar.

Katanya, yayasan terbabit sudah membantu lebih 3,000 pelajar daripada pelbagai peringkat umur setiap tahun.

“Ia sudah tentu menjadi suatu tugas utama perlu dimainkan Eco World, apatah lagi dengan komitmen mereka yang berterusan dalam menyediakan bantuan pendidikan termasuk kem pendidikan dan kunjungan rumah.

“Bantuan ini diyakini mampu membentuk masa depan yang cerah kepada golongan kanak-kanak kerana mereka diberi kepercayaan dan harapan besar untuk membuat ibu bapa mereka bangga suatu hari nanti,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kementeriannya akan terus menyokong segala program dilaksanakan yayasan terbabit, pada masa hadapan dan berharap lebih ramai pihak turut serta menyertai usaha itu.


Pengarang :