Datuk Badrul Hisham Mohd bergambar bersama peserta Persidangan Fiqh Muzakarah & Fiqh Antarabangsa 2019 (MFIFC 2019) edisi kelima di Auditorium Dr Zainudin Jaffar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Shah Alam pada 24 September 2019.
AGENDANASIONAL

Isu halal perlu diperkasa semua pihak

BANGI, 24 SEPT: Semua pihak harus berkerjasama terutama dalam memperkasakan aspek halal dan tanggungjawab itu tidak sepatutnya diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semata-mata.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, penghasilan produk halal yang berkualiti perlu seiring dengan pembangunan teknologi sekali gus mengambil kira peningkatan standard hidup, isu keselamatan data dan privasi pengguna.

“Namun, cabarannya dalam adaptasi teknologi ini adalah sumber modal dan kapital yang akan menelan belanja besar.

“Selain itu, aspek pembangunan dan penyelidikan serta inovasi juga perlu dititikberatkan malahan produk halal yang dihasilkan perlu sentiasa diberi tambah nilai untuk meningkatkan kebolehpasarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas Persidangan Fiqh Muzakarah & Fiqh Antarabangsa 2019 (MFIFC 2019) edisi kelima di Auditorium Dr Zainudin Jaffar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), di sini, hari ini.

Katanya, beliau memuji inisiatif KUIS dalam melaksanakan MFIFC 2019 yang mengumpulkan cendikiawan dalam kalangan pakar, ahli akademik, wakil agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat setempat dalam bidang fiqh.

“Saya dimaklumkan 80 kertas kerja dibentangkan pada persidangan ini dan saya percaya perkongsian idea serta pengalaman semua pihak akan memberi manfaat kepada hadirin yang terlibat dalam MFIFC 2019,” katanya.

MFIFC 2019 bertemakan “Kenali Mubah, Hindari Syubhah” berkisarkan fiqh kepenggunaan Islam yang holistik dan komprehensif menerusi pemanfaatan segala sumber alam sekitar.


Pengarang :