BUDAYARENCANA

Menukang puisi tidak semudah bermain domino

Oleh Abizai

Ramai anak muda bagai tersihir, ingin bergelar penyair. Berbekalkan seberkas unggun kata menyala di kepala, serumpun idea, mekar merimbun. Dunia puisi tanah air harus diruihkan dengan suara generasi mutakhir. Sabar, anak muda, menulis puisi tidak semudah memadankan angka dalam permainan domino. Cabaran menulis puisi zaman ini jauh berbeza dan penuh selekoh serta lekuknya jika dibandingkan dengan dekad-dekad sebelum ini. Jiwa calon penyair atau penyair baharu harus diresapi kekuatan dan kegigihan sejati. Sanggup belajar melalui pembacaan dan percubaan dengan mempelbagai gaya pengucapan jika ingin mencipta nama, terus bertahan dan melonjak ke peringkat lebih tinggi.

Tiada jalan pintas untuk menjadi penyair berjaya. Kerja menulis puisi adalah proses pembelajaran berterusan. Interaksi antara bakat alam dengan rakus pembacaan, halus perasaan dan perenungan tajam terhadap sesuatu perkara atau peristiwa, melahirkan penyair muda yang menjanjikan pada masa hadapan. Menurut Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dalam  Balada Hilang Peta, penyair seperti sentiasa belajar buat pertama kali. Dia mendengar suara, dia memilih kata-kata, lalu menapisnya, mengambil dan membuangnya. Ini dilakukan larik demi larik, rangkap demi rangkap hingga sempurna sebuah puisi. Perkara ini kerana bidang penulisan menuntut serta mementingkan kematangan bahasa, fikiran dan perasaan. Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh menyatakan dalam bukunya, Menyeberang Sejarah  bahawa gaya penulisan biasanya kelihatan hanya sepuluh tahun setelah seseorang penyair mula menulis. Untuk mendapatkan lebih daripada gaya kasar sekurang-kurangnya 20 tahun diperlukan setelah seseorang penyair mula menulis.

Hanya penyair yang mampu bertahan diuji zaman terus bertahan dan berterusan menghasilkan puisi-puisi yang segar dan bertenaga untuk sekian lama. Bagaimanapun, ada penyair yang mampu memperlihat bakat cemerlang pada usia pengarangan yang masih muda tetapi tidak bermakna dia harus berhenti belajar dan memperbaiki gaya pengucapan puisinya.

Penyair tidak lagi bergantung kepada rautan puisi-puisi yang terlalu biasa atau klise gaya pengucapan dan pemikirannya, kalau ingin terus bersaing untuk mendapatkan tempat penyiaran di media cetak. Penggunaan bahasa yang polos, lewah dan sarat prosaik patut dijauhi. Mencari dan menjejaki idea, citra dan metafora yang segar. Puisi harus padat dan cenderung menyusun sedikit kata tetapi membentangkan banyak perkara. Memadukan kata-kata dengan aneka kekuatan bahasa. Puisi merupakan hasil kegiatan pemadatan iaitu proses penciptaan dengan cara menangkap kesan-kesan lalu memadatkannya.

Persaingan menjadi begitu genting kerana semakin ramai penyair terutama generasi muda muncul dan mencuba pelbagai gaya dan teknik pengucapan. Puisi yang sekadar melonjakkan perasaan atau  merakamkan keadaan tanpa ketelitian pengucapan serta renungan mendalam serta bijaksana, tidak mampu mara ke puncak jaya. Menukang karya berbentuk eksperimental juga tidak menjaminkan kejayaan sekiranya kesan akhir yang sampai pada khalayak pembaca hanyalah kekaburan makna.

Puisi merupakan kata-kata yang mengungkapkan perasaan, pemikiran dan pengalaman dengan keindahan dan kebenaran. Di tangan penyair, kemungkinan kata-kata menjadi luas dalam menuju kesatuan makna. Kehidupan dilukis dengan pelbagai warna pengucapan. Kritikan dikiaskan secara halus. Dakwah disampaikan secara berhikmah. Derita pun digambarkan dengan penuh imaginasi.

Penyair perlu berubah mengikut rentak, cabaran dan tuntutan zaman jika mahu kekal relevan dan terus bersaing. Yang penting, mereka harus sentiasa memperkaya perbendaharaan kata dan imaginasi. Puisi simbolik tentu menuntut daya imaginasi yang lebih di samping tajam merenung alam dan kejadian. Jika ingin menulis dengan gaya sederhana dan tidak dibaluti kulit simbolik yang rahsia, penyair wajar mengukuhkan daya pemilihan dan susunan diksi agar indah dan mampu menyampaikan bijaksana.

Pernah seorang penyair muda mengatakan bahawa  puisi harus bebas, lepas, tegas dan lantang tanpa sekatan. Tidak wajar dikawal dan terikat untuk ia pergi jauh menembusi lorong-lorong makna puisi yang lebih mendalam. Pandangan tersebut dihormati, namun fikiran, perasaan dan pengalaman harus diraut cermat dan terkawal dalam sesebuah puisi kerana puisi berbeza daripada rencana, karya prosa atau luahan perasaan semata-mata.

Puisi harus menyampaikan sesuatu yang  besar dan bermakna dalam ruang kecil dan terbatas. Tidak semua kata-kata adalah puisi tetapi setiap puisi haruslah bermula dan berakhir dengan kata-kata terpilih dan teruji. Puisi membawa persoalan manusia dalam kata-kata sakti yang mampu memukau penikmat-penikmatnya. Setiap kata dipilih berpandu kepada makna atau erti yang ingin disampaikan. Di dalamnya terhimpun keindahan bahasa tersendiri dalam menitipkan makna benar. Penyair wajar menampilkan sesuatu yang segar dan baharu serta berbeza dalam bentuk berbahasa, pemikiran, makna dan gaya pengucapan.

Menulis puisi umpama menyediakan hidangan istimewa. Resipi perlu istimewa, pelbagai, berbeza dan menjelma daripada perenungan dan kekuatan imaginasi.Bahan-bahan harus terpilih di samping sukatan yang betul. Diolah dengan penuh rasa di hati dan kejernihan fikiran agar yang terhasil menimbulkan aroma memikat, rasa sedap dan pastinya berkhasiat. Sebuah puisi yang baik dan bersifat malar segar, pasti meninggalkan  kesan keindahan bahasa dan makna di hati dan fikiran pembaca yang tidak mudah dilupakan. Mengalir jernih ke alur ingatan dan jiwa dan berkekalan di sana dalam waktu lama.

Penyair dituntut memperbaharui gaya pengucapannya. Mengelakkan himpunan kata-kata yang kusam, usang dan klise. Bagaimanapun, penerokaan gaya pengucapan yang segar dan baharu bukan sekadar menaburkan citra dan simbol sesuka hati. Memburu kelainan dan kesegaran diksi dengan ungkapan eksotik tanpa pemilihan dan penggunaan kata yang sesuai dan berkesan. Menjelmakan kekaburan dan kekeliruan makna dalam pusaran citra yang bercampur dan bercelaru. Pemilihan setiap kata amat penting kerana jika tersalah, ia memberikan makna kurang tepat. Setiap kata dan citra yang membina puisi harus mempunyai peranan dan saling bertautan agar mampu sampai kepada kesatuan makna.

Penyair mesti berusaha mengelakkan penghasilan diksi yang janggal, imbuhan kata tidak tepat, imej atau simbol bercampur aduk, tiada kesinambungan dan erti yang menyanggah logika serta menimbulkan kekaburan dan kekeliruan. Puisi bukan sekadar permainan bahasa dan himpunan kata muluk tetapi perlu mengandungi makna nyata dan pemikiran bijaksana. Diksi puisi harus melalui saringan berulang agar menjadi terpilih, terkawal dan matang. Penyair hendaklah selalu bertengkar dengan kata-kata dalam proses memperhalusi dan memurnikan draf puisi. Puisi perlu menawarkan fikiran, perasaan dan pandangan dalam bentuk yang indah, padat, tepat, merdu, imaginatif dan seimbang. Sebagai contoh, hayati puisi T. Alias Taib, berjudul “di Tangan Penyair” yang dipetik daripada Opera:

di tangan penyair

       pagi perak

           lembut di leher padi

       senja tembaga

           cair di bibir kerbau

       bulan emas

           mengalir di paha kali

 

di tangan penyair

segala kemungkinan bisa terjadi

laut yang nyenyak tiba-tiba terjaga

dalam dirinya

hujan yang mencurah

mencipta telaga jernih

dalam dirinya

bayang-bayang dahaga

terguling

di tepi telaga.

 

T. Alias Taib memilih dan menyusun kata-kata dengan teliti dan tepat serta penuh seni menuju ke dasar makna dan mengekalkan kesinambungan citra serta idea.

Gelanggang puisi sentiasa terbuka luas untuk anak-anak muda bersama memeriahkannya. Keghairahan untuk melakar puisi amat dihargai dan dikagumi, namun bukan senang menjadi penyair. Perlu mahir melengkung bahasa, harus pandai menyaring kata-kata. Memujuk amuk letusan rasa dan memupuk jalar akar bijaksana. Tidak ingkar, membela sabar dalam menjinakkan imaginasi liar dan mewaraskan makna yang tersasar.

Menulis puisi, tidak semudah bermain domino. Yang penting, teruskan usaha mencari gaya pengucapan segar serta tersendiri. Adakala puisi seperti taman yang terbentang terang. Penyair harus pandai menanam dan menyusun letak pohon kata-kata agar indah, menjalarkan bijaksana dan kekal berkekalan lama di jiwa pembaca. Puisi ada waktunya, umpama sebuah lorong misteri. Penyair wajar menyediakan andang, tanda dan isyarat mencukupi agar khalayak pembaca  mampu menemui dan menikmati dasar makna sebenarnya.


Pengarang :