EXCOSELANGOR

Tiada keperluan turunkan nilai ambang hartanah pemilikan asing

SHAH ALAM, 19 OKT: Kerajaan Negeri tidak akan terburu-buru melaksanakan cadangan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar untuk pemilikan asing.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, hal itu kerana jumlah hartanah berharga RM600,000 ke atas tidak terjual di Selangor tidak serius.

“Hanya 65 unit hartanah bernilai RM600,001 hingga RM1 juta belum terjual berbanding 1,189 unit yang dilancarkan sementara hartanah berharga lebih RM1 juta hanya berbaki 260 unit daripada 2,368 unit yang ditawarkan.

“Jika mengikut statistik Laporan Status Pasaran Hartanah dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara ini, keadaan di Selangor tidak serius, tiada lambakan rumah kos tinggi yang banyak tetapi kita akan mengkaji berdasarkan tempoh, bilangan dan harga unit yang tidak terjual.

“Selangor melihat jika ada keperluan membabitkan jumlah lambakan yang besar kita akan pertimbangkan tetapi jika sebaliknya, kita akan kekalkan dasar mengawal pemilikan hartanah untuk warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Pameran Hartanah Negeri Selangor 2019 yang berlangsung dari 18 hingga 21 Oktober di Setia City Mall, Setia Alam di sini hari ini.

Haniza berkata, pada masa ini dasar Kerajaan Negeri menghadkan pemilikan warga asing bagi kediaman berstrata dengan harga RM2 juta ke atas sahaja.

Katanya, kajian itu turut mengambil kira faktor implikasi sosial terhadap masyarakat tempatan.


Pengarang :