Pengunjung melihat replika rumah pada pameran hartanah Selangor di Setia City Mall, Setia Alam pada 19 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
EXCOSELANGOR

Tiga fokus perumahan dalam Belanjawan #Selangor2020

SHAH ALAM, 19 OKT: Usaha pembangunan khasnya membabitkan unit kediaman menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dalam Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan pada 1 November ini.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, Kerajaan Negeri akan memfokuskan kepada usaha memulihkan projek terbengkalai dan mempercepatkan pembinaan projek Rumah Selangorku.

“Usaha pemulihan projek terbengkalai ini bagi memastikan projek yang mendapat kelululusan disempurnakan tidak menghadapi masalah.

“Kerajaan Negeri juga memfokuskan kepada pembangunan Rumah Selangorku kerana kelulusan itu diberikan membabitkan pembangunan bercampur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Pameran Hartanah Negeri Selangor 2019 di Setia City Mall, Setia Alam di sini hari ini.

Haniza berkata, Kerajaan Negeri dijangka akan meletakkan syarat supaya Rumah Selangorku dibangunkan dahulu atau sekurang-kurangnya serentak berbanding jenis lain.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga melihat keperluan pembangunan di kawasan padat untuk menghidupkan semula kawasan yang tepu dengan pembangunan lama.


Pengarang :