Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman menjawab pertanyaan media ketika Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) TNB 2019 Peringkat Selangor dengan Kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berlangsung di Bangunan PKNS, Shah Alam pada 13 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Capaian elektrik semenanjung hampir 100 peratus

SHAH ALAM, 13 DIS: Sebanyak 99.99 peratus penduduk Semenanjung Malaysia sudah memperoleh kemudahan bekalan tenaga elektrik, kata Ketua Pegawai Korporat Tenaga Nasional Berhad, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

Katanya, baki yang belum menerima bekalan tenaga itu hanya membabitkan lokasi-lokasi yang sukar serta terpencil termasuk kampung-kampung Orang Asli.

“TNB sudah berkhidmat hampir 70 tahun kepada Malaysia. Dalam tempoh itu sudah tentu amat membanggakan lebih-lebih lagi capaian bekalan elektrik di semenanjung hampir 100 peratus,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) peringkat Selangor di Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Omar Sidek dan Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar.

Pada program berkenaan, seramai enam keluarga menerima bantuan PBJ manakala satu keluarga menerima bantuan menerusi PMR.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, program bersama PKNS berkenaan mencatatkan sejarah kerana kali pertama diadakan di Selangor serta melibatkan golongan asnaf yang datang dari pelbagai latar belakang.

Katanya, penglibatan peneraju perumahan terkemuka seperti PKNS itu juga sekali gus membantu TNB mengenal pasti golongan asnaf yang perlu dibantu.


Pengarang :